PENGALAMAN SELEPAS MENJALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG (CABG) - BHGN 3
Saya dipindahkan ke Wad Premier Bilik 7. Keadaan di Wad Premier ini tenang sahaja dan terdapat 20 bilik yang terdiri dari berbagai saiz yang memenuhi keperluan pesakit. Saya memilih Bilik Seorang bagi membolehkan isteri saya menemani saya. Bagi membolehkan isteri menemani saya, beliau perlu mengambil ujian PCR untuk Covid 19 dan disahkan negatif.
Apabila berada di bilik sendiri, saya merasa ada privasi sedikit dan barulah terasa untuk membuang air besar. Semasa di wad biasa ini, pesakit boleh bergerak sendiri jika ada peneman, dan kurang perlukan bantuan nurse. Selera saya juga mula kembali normal selepas masalah angin di perut telah dapat dikawal.
Pada malam itu, saya masih mengalami situasi seperti pada malam-malam sebelum ini, cuma saya dah boleh tidur dengan agak nyenyak. Pada masa-masa tertentu, saya bercakap-cakap dengan orang yang saya temui di dalam 'mimpi' saya itu, dan pada isteri saya, seolah-olah saya bercakap sendirian.
Di Wad biasa ini, nurse memantau pesakit dari masa ke semasa dan hanya datang ke katil pesakit apabila ingin mengambil bacaan vital dan memberi makan ubat. Katil yang disediakan ini mudah untuk dikawal mengikut posisi yang dikehendaki pesakit, maka kuranglah pesakit meminta bantuan nurse untuk membetulkan posisi badan. Tiada lagi operasi 'membedakkan' pesakit kerana pesakit dah boleh mandi sendiri. Nurse menukar cadar dan sarung bantal pada setiap hari.
Inilah gambar Bilik Seorang di Wad Premier:
Sabtu 23/7/2022
Pagi itu saya dapat mandi sendiri dengan dibantu oleh isteri. Terasa lebih segar apabila badan terkena air. Selepas sarapan pagi, saya mula duduk di kerusi untuk membuat latihan awal sementara menunggu sesi fisioterapi dan sementara menunggu isteri saya membeli sarapannya di kafe di tingkat bawah. Latihan awal ini termasuk menggerak-gerakkan kaki dan latihan pernafasan menggunakan spirometer.
Fisioterapi pada hari itu dilakukan di Gymnasium dan saya dibawa ke sana dengan kerusi roda. Pada hari yang keempat selepas pembedahan ini, saya masih termengah-mengah untuk bergerak atau melakukan latihan fizikal. Sebelum memulakan latihan fisioterapi, Puan Aina seperti biasa mengambil bacaan nadi dan tekanan darah. Tekanan darah perlu dalam keadaan normal manakala nadi (heart beat) di antara 60 hingga 100bpm. Latihan di gym ini termasuk berjalan keliling gym, mengayuh basikal dan memanjat tangga. Menurut Puan Aina, pesakit akan melakukan latihan semaksima yang boleh supaya pesakit tahu sehingga ke tahap mana latihan boleh dilakukan apabila balik ke rumah nanti. Latihan pernafasan pula bertujuan untuk membolehkan jantung dan paru-paru digunakan pada tahap optimum.
Pada petang itu semasa dikunjungi doktor, tergerak untuk saya menanyakan situasi yang saya alami selama beberapa malam itu kepada Dr Jude. Beliau tergelak dengan cerita saya dan memberitahu bahawa saya mengalami ilusi (illusion) yang biasanya dialami oleh ramai pesakit selepas pembedahan kerana kesan morphine yang diberikan untuk mengurangkan sakit semasa pembedahan. Saya masih mengalami kesan morphine itu sepanjang berada di Wad CICU dan sedikit kesannya semasa di wad biasa.
Sebagai latihan sebelum dibenarkan balik ke rumah, pada petang itu saya berjalan-jalan dengan dipantau oleh anak saya di sepanjang koridor Wad Premier tersebut. Pergerakan masih perlahan dengan nafas masih termengah-mengah. Menurut Puan Aina, pesakit perlu bergerak selalu untuk mengelakkan kaki yang diambil urat itu menjadi keras. Pada ketika itu, sakit akibat pembedahan di dada dan di kaki tidak terasa kerana saya masih lagi diberikan pain killer.
Pada malam itu, kesan morphine telah mula berkurangan dan ilusi yang saya alami telah berkurang dan digantikan dengan mimpi biasa.
No comments:
Post a Comment