23 September 2022

PENGALAMAN SEBELUM MENJALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG (CABG) -BHGN 5

Selepas kembali semula ke Wad HDU, Dr Ravinderjit Singh telah mengesyorkan untuk melakukan pembedahan pintasan jantung (CABG) bersama Dato' Dr Mohd Hamzah Kamaruzaman, Pakar Bedah Cardiothoracic dari KPJ Damansara. Dato' Dr Hamzah telah memeriksa saya dan telah menetapkan untuk melakukan pembedahan tersebut pada 25/7/2022.

Inilah gambar saya semasa di Wad HDU selepas menjalani prosedur Angiogram, menerima kunjungan dari Puan Nurul Ain dari Bahagian Khidmat Pelanggan KPJ Klang. 


Pada 16/7/2022, saya menjalani Cardiac MRI (CMRI). Semasa prosedur yang mengambil masa lebih kurang 30 minit ini, dye dimasukkan melalui lengan saya untuk melihat keadaan jantung dan pembuluh darah sekitarnya. 

Pada hari tersebut keadaan saya agak normal dan saya telah dibenarkan untuk pergi ke bilik air tanpa diteman dan tanpa menggunakan kerusi roda. 

Saya dibenarkan keluar hospital pada 17/7/2022 selepas berada di Wad HDU sejak 13/7/2022. Saya dibekalkan dengan beberapa jenis ubat termasuk ubat untuk jantung dan cairkan darah.

Pada malam tersebut, walaupun boleh tidur dengan lena, saya merasakan bahagian dada kiri saya agak panas sepanjang waktu tidur tersebut. Saya menghantar mesej Whatsapp kepada Dato' Dr Hamzah pada paginya dan mendapat panggilan telefon dari beliau. Selepas menerangkan keadaan saya, beliau mencadangkan untuk mempercepatkan pembedahan dan saya bersetuju untuk menjalani pembedahan tersebut pada 19/7/2022.

Maka pada hari tersebut 18/7/2022, saya mempersiapkan diri dan mendaftar di Unit Kecemasan Hospital Pakar KPJ Damansara untuk kemasukan ke wad. Semasa di dalam Wad Kecemasan ini, saya menjalani sekali lagi ujian ECG dan ujian darah. Selepas urusan kemasukan selesai, saya dimasukkan ke Wad Cardiac Intensive Care Unit (CICU) dan mula melalui prosedur persiapan untuk menjalani pembedahan keesokan harinya.

Apabila berada di Wad CICU ini, penggunaan handphone tidak digalakkan. Maka saya terputus dengan dunia luar. Pada petang itu, pakar bius (Cardiac Anaesthologist) Dr Jude Morgan telah memeriksa keadaan saya dan menerangkan prosedur pembiusan semasa pembedahan pintasan jantung tersebut. Pada petang tersebut juga, Dr Jude telah memasang beberapa branula di tangan saya dan memasang tiub di bawah leher saya. Pemasangan tiub di bawah leher ini agak menyakitkan kerana hanya diberikan local bius sahaja. 

Pada sebelah malamnya saya diberikan ubat tidur supaya dapat berehat dan seterusnya berpuasa. Isteri saya menyewa di salah satu bilik untuk pelawat berdekatan dengan Wad CICU tersebut bagi membolehkan beliau berjumpa dan memberikan kata-kata semangat sebelum pesakit dibawa masuk ke bilik bedah.

Awal pagi esoknya, saya diminta untuk mencukur bulu di kemaluan dan seorang jururawat lelaki membantu untuk mencukur bulu-bulu di kaki kanan saya. Arteri di kaki kanan ini atau tangan kanan saya akan digunakan sebagai arteri pintasan untuk pembedahan nanti.

Dari pembacaan saya,  kebiasaannya persiapan pesakit untuk menjalani pembedahan ini mungkin termasuk yang berikut:
  • pakaian berbutang di depan seperti kemeja,
  • bantal kecil untuk dipeluk di dada,
  • sarung kaki trombolisis.
Persiapan yang disebut di atas mungkin untuk pesakit di IJN atau hospital kerajaan. Bagaimanapun, untuk kes saya di KPJ Damansara ini, kesemua itu tidak diperlukan secara spesifik oleh pihak hospital. Saya hanya membawa baju-baju seperti T-shirt, seluar (track bottom), jaket dan selipar. Sepanjang berada di wad, saya hanya menggunakan baju hospital sahaja. Track bottom dan jaket pun hanya dipakai apabila nak keluar dari hospital.

No comments:

Post a Comment