07 September 2022

PENGALAMAN SEBELUM MENJALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG (CABG) -BHGN 1

Kalau ikutkan rekod kesihatan, saya tidak ada masalah jantung. Setiap 2 tahun, saya melakukan pemeriksaan kesihatan yang ditetapkan oleh syarikat. Rekod kesihatan saya juga agak baik. Cuma doktor menasihatkan untuk menjaga pemakanan untuk mengawal gula dan kolestrol yang hampir melewati borderline. Cuma pada tahun 2020, giliran pemeriksaan kesihatan pada tahun itu tidak dapat dilakukan seperti biasa kerana halangan PKP. Apabila halangan PKP dilonggarkan pada 2021, saya terpaksa tangguhkan pemeriksaan kesihatan yang telah ditetapkan kerana kaki terseliuh. Bila kaki terseliuh, salah satu ujian semasa pemeriksaan kesihatan iaitu Stress Test tidak dapat dilakukan. Maka tertangguhlah pemeriksaan kesihatan itu sehingga saya bersedia untuk melakukannya pada bulan Jun 2022.

Saya menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk Stress Test pada 22/6/2022. ECG Test menunjukkan keputusan yang normal dan saya berjaya melepasi Stress Test sehingga Stage 4. Pada 31/6/2022 semasa pihak doktor menyerahkan dan membincangkan keputusan ujian-ujian semasa Pemeriksaan Kesihatan tersebut, doktor menasihatkan supaya saya mengawal pemakanan memandangkan tahap kolestrol jahat LDL agak tinggi pada tahap 5.0, dengan tahap keseluruhan kolestrol pada kadar 7. Lain-lain keputusan menunjukkan keputusan yang normal. Doktor menasihatkan saya untuk berjumpa dengannya dalam masa 4 bulan untuk ujian kolestrol sekali lagi sebelum menetapkan jika saya perlu untuk mengambil ubat kolestrol.

Dengan keputusan itu, saya meneruskan penghidupan seperti biasa dengan mula mengawal pemakanan dan mengambil minuman kesihatan untuk mengawal kolestrol (jus mengandungi madu, cuka epal, dan lain-lain ramuan yang memang ada saya beli sebelum ini). Saya juga meminum lebih banyak air lemon panas dengan sedikit madu selepas makan.

No comments:

Post a Comment