PENGALAMAN MENJALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG (CABG)
Hari Pembedahan - 19/7/2022
Saya dibawa masuk ke Cardiac Operation Theatre, yang hanya bersebelahan dengan Wad CICU, pada sekitar jam 8.00 pagi. Beberapa ketika selepas memasuki OT tersebut, saya diberikan bius untuk memasang tiub di perut dan di bahagian-bahagian lain yang diperlukan. Selepas dari itu, saya tidak sedarkan diri sehingga dibawa balik ke Wad CICU pada sekitar jam 2 petang. Dalam keadaan mamai tersebut, saya tidak berapa pasti bila sebenarnya saya sedar sepenuhnya. Saya dengar bunyi suara nurse memanggil-manggil nama saya tetapi amat sukar untuk membuka mata walaupun saya sebenarnya dah mula sedar. Saya memang tidak boleh bersuara kerana terdapat tiub di dalam mulut yang belum dikeluarkan lagi.
Pada hari tersebut, hanya saya seorang sahaja pesakit di Wad CICU. Selepas sedar sepenuhnya, terasa kurang selesa kerana adanya tiub di mulut, tiub oksigen di hidung, tiub di bawah leher, dan beberapa branula di tangan kanan dan kiri. Kesan bius masih terasa dan ubat-ubat untuk jantung, dan pain killer diberikan. Sakit akibat pembedahan tidak terasa kerana kesan pain killer yang diberikan.
Apabila telah dibenarkan untuk makan, tiub di mulut telah dikeluarkan. Saya diberikan makanan ringan iaitu bubur dan buah-buahan. Saya tiada selera untuk makan, ditambah pula oleh keadaan perut yang berangin selepas beberapa jam tidak makan sejak tengah malam kerana saya mempunyai masalah gastrik.
Pada peringkat awal ini, rasa nak batuk memang normal dan setiap kali batuk, kahak berdarah akan keluar. Nurse menyediakan ketor dan tisu untuk membuang kahak ini.
Bagi menangani gastrik yang saya alami, doktor memberikan pil gastrik Nexium dan Ganaton yang perlu diambil sebelum makan. Walaupun begitu, selera makan saya masih terganggu. Saya hanya mampu makan sedikit sahaja.
Memang agak kurang selesa berbaring di katil dalam keadaan telentang, walaupun katil boleh dilaraskan mengikut keselesaan kita. Pada hari pertama ini, segala-galanya agak sukar untuk dilakukan sendiri maka bantuan nurse memang sentiasa diperlukan. Dari masa ke semasa, nurse akan dipanggil untuk membetulkan kedudukan saya di katil bagi mengurangkan sakit belakang.
Pada malam itu, saya memang tidak dapat tidur. Pemantauan dari nurse mengambil bacaan, membetulkan drip, memberikan ubat-ubat untuk dimakan dan bunyi mesin yang memantau keadaan pesakit memang mengganggu tidur saya. Selain dari itu, saya telah pun tidur agak lama semasa di bilik bedah dan selepas pembedahan tersebut menyebabkan saya sukar nak tidur pada malam itu.
Degupan jantung saya pada sebelah malamnya agak kencang dan degupan jantung itu menggetarkan badan saya sehinggakan bergegar selimut saya. Selepas memberitahu nurse keadaan tersebut, doktor memberikan saya ubat untuk mengurangkan degupan jantung yang tinggi itu.
Memandangkan saya tidak lena tidur, peredaran masa pada malam itu agak lambat. Terasa amat lambat untuk sampai waktu pagi. Saya tidak memakai cermin mata sejak memasuki Wad CICU. Oleh itu, sukar untuk saya mengetahui waktu sebenar. Saya hanya tahu waktu dah pagi apabila pergerakan nurse mula sibuk dari biasa, dan beberapa ketika selepas itu nurse melakukan 'shift hand over' kepada nurse giliran berikutnya.
No comments:
Post a Comment