PENGALAMAN SEBELUM MENJALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG (CABG) -BHGN 4
Pada 15/7/2022, setelah berpuasa dari tengah malam, saya dibawa ke Cath Lab untuk menjalani Angiogram. Prosedur itu dilakukan oleh Doktor Ravinderjit Singh, salah seorang Pakar Jantung (Cardiologist) di KPJ Klang Specialist Hospital. Sepanjang prosedur ini saya berada dalam keadaan sedar dan saya diberikan penerangan ringkas berkaitan prosedur tersebut dan pembiusan lokal.
Sebelum ini, saya pernah memasuki Operating Teater (OT) atau yang seumpamanya. Semua prosedur tersebut, saya memilih untuk diberikan full anaesthetic (bius penuh) termasuk pembedahan mata membuang kataraks, prosedur RFA melibatkan lutut dan colonoscopy (scoping usus). Ini adalah kerana saya pernah mengalami vertigo sebanyak 3 kali dan saya jadi restless jika menjalani prosedur ini dalam keadaan sedar.
Untuk Angiogram kali ini, saya terpaksa berada dalam keadaan sedar dan keadaan ini sedikit sebanyak membuat saya rasa berdebar. Walau bagaimanapun, pembantu-pembantu dan nurse yang ada di dalam Cath Lab itu sentiasa mententeramkan saya dengan mengingatkan saya untuk membaca selawat dan lain-lain zikir. Saya berdebar kerana jika Angiogram melalui urat di lengan tidak berjaya, prosedur akan dilakukan melalui peha dan saya diberitahu bahawa prosedur melalui peha ni agak menyakitkan.
Alhamdulillah, selepas diberikan pembiusan lokal di bawah pergelangan tangan kanan, Dr Ravin memulakan prosedur Angiogram. Cath Lab digelapkan sedikit untuk membolehkan imbasan imej di monitor dapat dilihat. Saya dapat merasakan pergerakan kamera melalui arteri menuju ke arah jantung dan dalam masa beberapa saat sahaja, kamera telah sampai di jantung. Dye biru pun dimasukkan dan saya dapat melihat di monitor bagaimana dye biru itu menyusup masuk memenuhi ruang arteri jantung saya. Maka kelihatan dengan jelas tempat dan arteri yang mengalami penyumbatan dan Dr Ravin menerangkan kepada saya keadaan jantung saya.
Semasa melepaskan dye pada arteri yang ketiga, blood pressure (BP) saya menurun dengan tiba-tiba dan saya merasa seperti nak pitam. Dr Ravin mengarahkan pembantunya untuk menyuntik ubat melalui branula di lengan kiri saya. Dalam keadaan gelap, pembantu tidak dapat membuka penutup branula dan sedikit kekalutan berlaku di dalam Cath Lab tersebut bila mana BP saya semakin menurun. Alhamdulillah, saya masih dipanjangkan umur dan suntikan ubat (pencair darah rasanya) dapat diberikan dan keadaan BP saya mula beransur normal. Sepanjang proses mengembalikan BP saya kepada keadaan normal, pembantu/nurse yang berada di sebelah kanan saya tidak putus-putus mengingatkan saya untuk berisytighfar, berselawat dan berzikir.
Apabila keadaan telah kembali normal, Dr Ravin memberitahu keadaan penyumbatan arteri yang saya alami. Memandangkan tahap penyumbatan arteri saya lebih dari 80%, beliau memberitahu memasang belon atau stent tidak digalakkan. Walaupun memasang belon atau stent boleh dilakukan pada arteri saya, pada masa akan datang saya masih perlu melakukannya sekali lagi atau terpaksa juga menjalani pembedahan pintasan jantung. Oleh yang demikian, saya mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan pintasan jantung (heart bypass) dan prosedur Angiogram tersebut dihentikan.
Berikut adalah 2 screen shot penyumbatan jantung saya yang ditunjukkan oleh Dr Ravin kepada isteri saya semasa menjelaskan kepadanya mengenai keadaan saya di luar Cath Lab.
No comments:
Post a Comment