26 September 2022

PENGALAMAN SELEPAS MENJALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG (CABG) - BHGN 1

Pada hari kedua selepas pembedahan, saya masih sukar untuk menelan makanan dan bernafas kerana terasa seolah-olah ada sesuatu yang tersangkut di tenggorok. Ini kerana masalah angin yang tersekat kerana masalah gastrik saya. Untuk meredakan keadaan dan membolehkan saya minum air, saya terpaksa batuk sedikit-sedikit sehingga angin yang tersekat itu keluar melalui sendawa. Keadaan angin yang tersekat ini berulang sehingga hari keempat. 

Selera makan masih terganggu kerana kesan ubat dan masalah angin yang tersekat di kerongkong. Oleh itu, saya kurang bertenaga. Pada hari kedua selepas pembedahan, biasanya pegawai terapi akan datang untuk membantu pesakit membuat latihan fisioterapi. 

Selepas makan pagi, Physiotherapist Puan Aina dan dua orang nurse membantu saya untuk turun dari katil dan bergerak untuk duduk di kerusi. Pada kali pertama ini, keadaan agak sukar kerana pertama kali bergerak turun dari katil dan banyak halangan pada badan seperti urine bag, botol drip dan lain-lain. Sebelum bergerak turun, saya diberikan bantal kecil untuk dipeluk semasa bergerak, dan diajar menggunakannya jika batuk, bersin dan apabila ingin bangun dari katil. Saya juga diajar untuk melakukan latihan pernafasan (breathing in and out) dan menggunakan Spirometer. Apabila keadaan agak stabil untuk berdiri, saya dibawa turun dari katil sambil memeluk bantal kecil tadi dan setapak demi setapak bergerak ke arah kerusi.  Heart beat dan tekanan darah saya dipantau sebelum memulakan fisioterapi ini. Apabila heart beat saya normal, saya mula bangun dari kerusi dan dibawa berjalan setapak demi setapak membuat lebih kurang satu pusingan keliling wad. Selepas itu, saya dibawa untuk duduk semula di kerusi dan dibiarkan di situ selama lebih kurang satu jam sebelum dibenarkan berbaring semula di katil. 

Inilah bantal kecil dan spirometer yang dibekalkan oleh pihak hospital. Latihan pernafasan menggunakan spirometer ini bertujuan untuk membolehkan pesakit menggunakan potensi paru-paru ke tahap yang optimum. Pada peringkat awal, memang sukar untuk menggerakkan omboh atau piston hijau tu melebihi paras 1000 dan ring hijau di sebelah kanan itu berada di tengah-tengah. Tetapi untuk keluar hospital cepat, kita kena buat latihan ini selalu dan dapat angkat omboh hijau itu dengan hembusan nafas kita sekurang-kurangnya sehingga tahap 1000.


Pelawat dibenarkan untuk berada di Wad CICU semasa waktu melawat. Oleh itu, isteri saya dibenarkan berada di wad menemankan saya selama beberapa jam sebagai memberi semangat. Pada waktu siang, keadaan di wad kurang membosankan kerana ada kawan bercakap.

Pada sebelah petang 20/7/2022, seorang lagi pesakit yang menjalani pembedahan pintasan jantung dibawa masuk ke Wad CICU. Mr Ng (kalau tak silap saya) berusia 65 tahun dan bergantung kepada perubatan Cina sebagai langkah menjaga kesihatannya. Walaubagaimanapun, beliau terpaksa menjalani pembedahan pintasan jantung juga. Maka riuhlah Wad CICU ini kerana Mr Ng ni banyak gelagatnya dan puaslah nurse-nurse melayan dan menasihatkannya.

Pada malamnya, seperti pada malam pertama selepas pembedahan, saya masih sukar untuk tidur walaupun diberikan ubat-ubat yang biasanya menyebabkan kita mengantuk seperti pain killer dan antibiotik. Macam manapun, setiap kali saya memejamkan mata, saya seolah-olah menonton filem dokumentari. Pada setiap sesi dokumentari itu (setiap kali saya dapat memejamkan mata), saya mencari sebab atau diberitahu sebab mengapa satu-satu keputusan itu dibuat. Contohnya mengapa saya perlu memilih hospital di dalam filem itu untuk mendapatkan rawatan, mengapa kajian di dalam filem itu dilakukan dan berbagai lagi cerita. Setiap kali nurse datang untuk mengambil bacaan jantung atau membetulkan drip atau melihat perubahan kandungan kantung air kencing, saya akan tersedar dan episod baru akan bermula bila saya dapat memejamkan mata semula. Ada cerita mengembara ke angkasa dan kisah makhluk yang bila dibunuh hidup semula dan cerita-cerita mengarut yang lain. Begitulah keadaannya sehingga ke pagi.


No comments:

Post a Comment