PENGALAMAN SELEPAS MENJALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG (CABG) - BHGN 4
Ahad 24/7/2022
Sementara menunggu sesi fisioterapi, saya menerima kunjungan dari adik beradik saya. Walaupun lawatan dibenarkan, kami menghad lawatan kepada keluarga dan adik beradik sahaja, kerana risiko Covid 19 dan influenza. Ini kerana risiko kepada pesakit yang masih dalam proses recovery dan mempunyai imuniti yang masih rendah. Pada masa itu, bilik-bilik di Wad Premier banyak dipenuhi dengan kanak-kanak yang dijangkiti Influenza.
Hari itu, sesi fisioterapi dilakukan seperti biasa, cuma dibuat di sebelah petang. Pada hari Ahad, Gymnasium kosong sahaja kerana dibuka untuk pesakit sahaja. Kali ini latihan dikendalikan oleh pembantu Puan Aina dan latihan dapat dilakukan dengan baik, selesai kurang dari setengah jam.
Petang itu, Dato' Dr Hamzah membuat pemeriksaan dan memberitahu bahawa esok saya mungkin dibenarkan pulang ke rumah. Banula di tangan kiri dibuka dan hanya ditampal dengan plaster sahaja. Maka mudahlah untuk saya mandi dan lain-lain.
Bagi membolehkan pesakit pulih segera, Dato' Dr Hamzah tidak menetapkan sebarang pantang dan saya dibenarkan untuk makan apa sahaja sehingga diberitahu dalam sesi follow up akan datang. Fisioterapi juga tidak ditetapkan, cukup dengan latihan di rumah dan latihan pernafasan menggunakan spirometer.
Pesan doktor dan nurse:
- Jangan mengangkat barang berat melebihi 1 kg sehingga diberitahu semasa sesi follow up akan datang.
- Tidak dibenarkan memandu selama 2 bulan. (Dr Jude menasihatkan tidak memandu sehingga 3 bulan).
- Tidak membuat kerja-kerja berat seperti menyangkul, memesin rumput dan yang seumpamanya sehingga diberitahu kelak, seelok-eloknya sehingga 6 bulan.
- Dibenarkan mengambil supplement seperti multivitamin, kapsul minyak ikan dan yang serupa dengannya tetapi tidak digalakkan mengambil ubat-ubatan lain, terutamanya ubat-ubat tradisional tanpa nasihat doktor.
- Walaupun mengambil ubat cair darah (Plavix), tidak perlu pantang memakan sayur-sayuran.
- Tidak bersolat seperti biasa. Boleh bersolat menggunakan kerusi sehingga diberitahu semasa sesi follow up akan datang.
- Semasa luka di dada dalam proses untuk sembuh, aktiviti seperti menunduk, mendepang dada dan yang seumpama dengannya perlu dilakukan berhati-hati.
- Jangan mengambil pati ikan haruan kerana boleh menyebabkan luka sembuh dalam keadaan tidak sekata (luka dalam dan luar) dan kesan parut juga akan jadi tidak cantik. Boleh makan ikan haruan yang dimasak secara terus, bukannya ambil pati ikan haruan.
- Bagi mengelakkan jangkitan kuman di kawasan luka, digalakkan menggunakan 3 tuala mandi yang berbeza untuk mengesat kawasan dada, kaki dan anggota badan yang lain.
- Tidak digalakkan memancutkan air ke kawasan luka secara direct semasa mandi.
- Digalakkan untuk menggunakan sabun mandi yang mild dengan tahap pH5.5.
- Tidak menggunakan ointment pada kawasan luka bagi mengelakkan jangkitan kuman.
No comments:
Post a Comment