PENGALAMAN SELEPAS MENJALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG (CABG) - BHGN 2
Selepas pembedahan, pesakit biasanya tidak digalakkan untuk pergi ke bilik air. Untuk membuang air kecil, air kencing akan masuk terus ke kantung air kencing (catheter). Pada peringkat awal, pihak hospital akan memantau jumlah isipadu di dalam kantung air kencing ini untuk mengetahui jika bladder telah berfungsi dengan baik. Untuk membuang air besar, pesakit diminta menggunakan bekas besi yang disediakan.
Kerana dah biasa membuang air besar di tandas, saya tak boleh nak membuang menggunakan bekas besi yang diberikan. Sejak berada di Wad CICU itu, saya tidak terasa sakit untuk membuang air besar. Bagi memudahkan saya melepaskan kentut, saya meminta nurse memakaikan saya 'pampers' sebagai langkah mengelakkan 'terbuang' secara tak sengaja. Akibat gastrik dan tiada selera untuk makan, perut saya penuh angin dan adalah wajar untuk saya melepaskan kentut/angin dari masa ke semasa.
|
Wad CICU |
Khamis 21/7/2022
Sebelum waktu subuh, nurse akan menukar cadar katil, mengelap pesakit dan menukar 'pampers' jika perlu. Pada masa itu, pesakit dilakukan seperti bayi, dilap bersih dan dibedakkan. Bergantung kepada bilangan nurse yang ada, biasanya operasi ini dilakukan oleh 2 orang nurse, seorang di kiri dan seorang di kanan. Lebih memudahkan jika ada 4 orang nurse. Pesakit akan diminta meringankan badan dengan menolak kaki mengikut arahan nurse bagi membolehkan pesakit ditarik ke atas semasa cadar dikeluarkan dan untuk mengiring ke kiri atau mengiring ke kanan semasa badan dibersihkan. Semasa proses ini, kudrat dan tenaga nurse memang diperlukan untuk menguruskan pesakit, lebih-lebih lagi jika pesakit berbadan besar, dan jika hanya seorang nurse sahaja yang melakukannya.
Selepas di'mandi'kan ini, badan terasa segar dan biasanya saya dapat tidur seketika sehingga sarapan pagi diberikan. Macam manapun, pada hari kedua dan ketiga selepas pembedahan itu, saya masih belum berselera untuk makan.
Walaupun baru semalam menjalani pembedahan, Mr Ng (pesakit di katil sebelah) telah pun meminta nak minum kopi/teh. Dia memang cepat kembali seleranya. Makan pun nampak dah banyak. Pagi tu, Physiotherapist memulakan sesi fisioterapi dengan Mr Ng dahulu. Dia nampak cepat nak pulih dan mudah nak melakukan sesi pertama fisioterapi ni dengan berjaya menapak keliling wad lebih baik dari saya semalam. Ini membuatkan saya tercabar, sebab dia lebih tua dan baru semalam je menjalani pembedahan.
Apabila tiba giliran saya untuk fisioterapi, saya cuba melakukannya dengan lebih baik dan Mr Ng memberikan saya semangat dan tips untuk menapak keliling wad dengan lebih baik. Saya kena lakukan dengan baik sebab Doktor Jude nak pastikan saya boleh bergerak keliling wad sebelum dibenarkan berpindah ke wad biasa.
Dari ujian darah yang dilakukan pada awal pagi tadi, hemoglobin count dalam darah saya kurang dari tahap yang sepatutnya, maka Doktor Jude mengambil keputusan untuk memasukkan satu beg darah ke dalam badan saya. Maka pada petang dan malam itu, saya banyak berbaring sahaja bagi menerima drip darah tersebut.
Seperti pada malam sebelum ini, saya juga tidak dapat tidur dengan nyenyak. Pada malam itu, saya seolah-olah berada di siang hari pada suatu tempat yang asing dengan kedengaran bahasa yang tidak difahami. Pada kebanyakan masanya, saya seolah-olah berbaring di tepi jalan, berdekatan laluan orang ramai atau berada di dalam semak-semak di tepi kebun, di kawasan parking lori, atau yang seumpama dengannya. Dari percakapan yang saya dengar, saya seolah-olah berada di Sabah atau di Malaysia Timur kerana bahasanya mirip bahasa di sana, walaupun orang-orang yang kelihatan itu seperti orang Cina atau Filipina. Begitulah keadaannya pada malam tersebut dan pada malam berikutnya.
Jumaat 22/7/2022
Pada siang harinya, saya terfikir apakah fenomena malam tadi itu disebabkan saya diberi darah yang asalnya dari orang dari sana. Macam manapun, pemikiran itu hilang seketika bila dah siang dan dapat melihat ke luar wad.
Dengan tambahan 1 beg darah itu, hemoglobin count saya bertambah baik. Pada pagi itu, saya dibebaskan dari dipasang catheter (beg air kencing) dan beberapa banula di tangan saya mula dibuka. Keadaan ini melegakan dan memudahkan pergerakan saya untuk membuat fisioterapi. Hasil fisioterapi kali ini penting untuk membolehkan doktor memindahkan saya ke wad biasa.
Selepas berpuas hati dengan perkembangan jantung dan keputusan fisioterapi, doktor bersetuju untuk memindahkan saya ke wad biasa pada petang hari Jumaat itu. Sebelum dipindahkan, nurse memperkemaskan bandage di kawasan luka pembedahan di dada dan di kaki kanan saya. Bandage yang digunakan adalah dari jenis tidak melekat dan kawasan luka pembedahan itu disembur (spray) dengan lapisan kalis air. Bagi memudahkan Dato' Dr Hamzah dan Dr Jude memantau pesakit, biasanya pesakit ditempatkan di wad biasa berdekatan pada tingkat yang sama. Saya mengambil keputusan untuk mengambil Wad Premier yang berada berdekatan dengan Wad CICU.
Saya mengucapkan terima kasih kepada semua petugas Wad CICU dan ucapan selamat kepada Mr Ng. Bagi memantau keadaan jantung saya secara remote dari Wad CICU, sejenis peranti dipasang di badan saya dan perlu dibawa ke mana sahaja. Maka dari malam itu, bermulalah pengalaman tinggal di wad biasa pula.