23 September 2022

PENGALAMAN SEBELUM MENJALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG (CABG) -BHGN 5

Selepas kembali semula ke Wad HDU, Dr Ravinderjit Singh telah mengesyorkan untuk melakukan pembedahan pintasan jantung (CABG) bersama Dato' Dr Mohd Hamzah Kamaruzaman, Pakar Bedah Cardiothoracic dari KPJ Damansara. Dato' Dr Hamzah telah memeriksa saya dan telah menetapkan untuk melakukan pembedahan tersebut pada 25/7/2022.

Inilah gambar saya semasa di Wad HDU selepas menjalani prosedur Angiogram, menerima kunjungan dari Puan Nurul Ain dari Bahagian Khidmat Pelanggan KPJ Klang. 


Pada 16/7/2022, saya menjalani Cardiac MRI (CMRI). Semasa prosedur yang mengambil masa lebih kurang 30 minit ini, dye dimasukkan melalui lengan saya untuk melihat keadaan jantung dan pembuluh darah sekitarnya. 

Pada hari tersebut keadaan saya agak normal dan saya telah dibenarkan untuk pergi ke bilik air tanpa diteman dan tanpa menggunakan kerusi roda. 

Saya dibenarkan keluar hospital pada 17/7/2022 selepas berada di Wad HDU sejak 13/7/2022. Saya dibekalkan dengan beberapa jenis ubat termasuk ubat untuk jantung dan cairkan darah.

Pada malam tersebut, walaupun boleh tidur dengan lena, saya merasakan bahagian dada kiri saya agak panas sepanjang waktu tidur tersebut. Saya menghantar mesej Whatsapp kepada Dato' Dr Hamzah pada paginya dan mendapat panggilan telefon dari beliau. Selepas menerangkan keadaan saya, beliau mencadangkan untuk mempercepatkan pembedahan dan saya bersetuju untuk menjalani pembedahan tersebut pada 19/7/2022.

Maka pada hari tersebut 18/7/2022, saya mempersiapkan diri dan mendaftar di Unit Kecemasan Hospital Pakar KPJ Damansara untuk kemasukan ke wad. Semasa di dalam Wad Kecemasan ini, saya menjalani sekali lagi ujian ECG dan ujian darah. Selepas urusan kemasukan selesai, saya dimasukkan ke Wad Cardiac Intensive Care Unit (CICU) dan mula melalui prosedur persiapan untuk menjalani pembedahan keesokan harinya.

Apabila berada di Wad CICU ini, penggunaan handphone tidak digalakkan. Maka saya terputus dengan dunia luar. Pada petang itu, pakar bius (Cardiac Anaesthologist) Dr Jude Morgan telah memeriksa keadaan saya dan menerangkan prosedur pembiusan semasa pembedahan pintasan jantung tersebut. Pada petang tersebut juga, Dr Jude telah memasang beberapa branula di tangan saya dan memasang tiub di bawah leher saya. Pemasangan tiub di bawah leher ini agak menyakitkan kerana hanya diberikan local bius sahaja. 

Pada sebelah malamnya saya diberikan ubat tidur supaya dapat berehat dan seterusnya berpuasa. Isteri saya menyewa di salah satu bilik untuk pelawat berdekatan dengan Wad CICU tersebut bagi membolehkan beliau berjumpa dan memberikan kata-kata semangat sebelum pesakit dibawa masuk ke bilik bedah.

Awal pagi esoknya, saya diminta untuk mencukur bulu di kemaluan dan seorang jururawat lelaki membantu untuk mencukur bulu-bulu di kaki kanan saya. Arteri di kaki kanan ini atau tangan kanan saya akan digunakan sebagai arteri pintasan untuk pembedahan nanti.

Dari pembacaan saya,  kebiasaannya persiapan pesakit untuk menjalani pembedahan ini mungkin termasuk yang berikut:
  • pakaian berbutang di depan seperti kemeja,
  • bantal kecil untuk dipeluk di dada,
  • sarung kaki trombolisis.
Persiapan yang disebut di atas mungkin untuk pesakit di IJN atau hospital kerajaan. Bagaimanapun, untuk kes saya di KPJ Damansara ini, kesemua itu tidak diperlukan secara spesifik oleh pihak hospital. Saya hanya membawa baju-baju seperti T-shirt, seluar (track bottom), jaket dan selipar. Sepanjang berada di wad, saya hanya menggunakan baju hospital sahaja. Track bottom dan jaket pun hanya dipakai apabila nak keluar dari hospital.

16 September 2022

PENGALAMAN SEBELUM MENJALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG (CABG) -BHGN 4

Pada 15/7/2022, setelah berpuasa dari tengah malam, saya dibawa ke Cath Lab untuk menjalani Angiogram. Prosedur itu dilakukan oleh Doktor Ravinderjit Singh, salah seorang Pakar Jantung (Cardiologist) di KPJ Klang Specialist Hospital. Sepanjang prosedur ini saya berada dalam keadaan sedar dan saya diberikan penerangan ringkas berkaitan prosedur tersebut dan pembiusan lokal. 

Sebelum ini, saya pernah memasuki Operating Teater (OT) atau yang seumpamanya. Semua prosedur tersebut, saya memilih untuk diberikan full anaesthetic (bius penuh) termasuk pembedahan mata membuang kataraks, prosedur RFA melibatkan lutut dan colonoscopy (scoping usus). Ini adalah kerana saya pernah mengalami vertigo sebanyak 3 kali dan saya jadi restless jika menjalani prosedur ini dalam keadaan sedar.

Untuk Angiogram kali ini, saya terpaksa berada dalam keadaan sedar dan keadaan ini sedikit sebanyak membuat saya rasa berdebar. Walau bagaimanapun, pembantu-pembantu dan nurse yang ada di dalam Cath Lab itu sentiasa mententeramkan saya dengan mengingatkan saya untuk membaca selawat dan lain-lain zikir. Saya berdebar kerana jika Angiogram melalui urat di lengan tidak berjaya, prosedur akan dilakukan melalui peha dan saya diberitahu bahawa prosedur melalui peha ni agak menyakitkan.

Alhamdulillah, selepas diberikan pembiusan lokal di bawah pergelangan tangan kanan, Dr Ravin memulakan prosedur Angiogram. Cath Lab digelapkan sedikit untuk membolehkan imbasan imej di monitor dapat dilihat. Saya dapat merasakan pergerakan kamera melalui arteri menuju ke arah jantung dan dalam masa beberapa saat sahaja, kamera telah sampai di jantung. Dye biru pun dimasukkan dan saya dapat melihat di monitor bagaimana dye biru itu menyusup masuk memenuhi ruang arteri jantung saya. Maka kelihatan dengan jelas tempat dan arteri yang mengalami penyumbatan dan Dr Ravin menerangkan kepada saya keadaan jantung saya. 

Semasa melepaskan dye pada arteri yang ketiga, blood pressure (BP) saya menurun dengan tiba-tiba dan saya merasa seperti nak pitam. Dr Ravin mengarahkan pembantunya untuk menyuntik ubat melalui branula di lengan kiri saya. Dalam keadaan gelap, pembantu tidak dapat membuka penutup branula dan sedikit kekalutan berlaku di dalam Cath Lab tersebut bila mana BP saya semakin menurun. Alhamdulillah, saya masih dipanjangkan umur dan suntikan ubat (pencair darah rasanya) dapat diberikan dan keadaan BP saya mula beransur normal. Sepanjang proses mengembalikan BP saya kepada keadaan normal, pembantu/nurse yang berada di sebelah kanan saya tidak putus-putus mengingatkan saya untuk berisytighfar, berselawat dan berzikir.

Apabila keadaan telah kembali normal, Dr Ravin memberitahu keadaan penyumbatan arteri yang saya alami. Memandangkan tahap penyumbatan arteri saya lebih dari 80%, beliau memberitahu memasang belon atau stent tidak digalakkan. Walaupun memasang belon atau stent boleh dilakukan pada arteri saya, pada masa akan datang saya masih perlu melakukannya sekali lagi atau terpaksa juga menjalani pembedahan pintasan jantung. Oleh yang demikian, saya mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan pintasan jantung (heart bypass) dan prosedur Angiogram tersebut dihentikan.

Berikut adalah 2 screen shot penyumbatan jantung saya yang ditunjukkan oleh Dr Ravin kepada isteri saya semasa menjelaskan kepadanya mengenai keadaan saya di luar Cath Lab.





15 September 2022

PENGALAMAN SEBELUM MENJALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG (CABG) -BHGN 3

Agak pelik saya diserang mild heart attack memandangkan rekod kesihatan saya baik:
  • Tahap kolestrol masih di bawah kawalan dan doktor belum mengesyorkan ubat kolestrol
  • Berjaya melepasi Stress Test sehingga Stage 4
  • Tiada simptom yang menjurus ke arah itu.
Dari penerangan doktor, kes saya ni agak unik. Menurut beliau, melepasi Stress Test tidak dapat memberikan 100% keyakinan yang kita tidak mempunyai risiko sakit jantung. Memandangkan arwah ibu saya mempunyai rekod sakit jantung, maka anak-anak lelakinya juga mempunyai risiko sakit jantung. Inilah penerangan doktor mengapa saya diserang mild heart attack walaupun saya melepasi Stress Test pada 22/6/2022 yang lalu, iaitu kurang dari sebulan pada tarikh saya diserang mild heart attack tersebut. Selain dari itu, apa yang berlaku sememangnya ketentuanNya jua....

Doktor juga menyarankan supaya melakukan Echo Test selain dari melakukan Stress Test dan lain-lain ujian yang biasa dilakukan semasa Pemeriksaan Kesihatan. Difahamkan Echo Test dapat memberikan maklumat lebih tepat tentang keadaan jantung. 

{Echo test boleh membantu mendiagnosis dan memantau keadaan jantung tertentu dengan memeriksa struktur jantung dan saluran darah di sekelilingnya, menganalisis cara darah mengalir melaluinya, dan menilai ruang pam jantung. Bagaimanapun, Echo Test tidak dapat memberikan maklumat tentang sebarang penyumbatan dalam arteri jantung.} 

Sepanjang berada di Wad HDU, saya menjalani ujian ECG pada setiap pagi sekitar jam 6.00 pagi, selain dari diambil sample darah untuk ujian. Di Wad HDU ni, pelawat jarang dibenarkan melawat dan handphone juga tidak digalakkan. Bagi mengelakkan rasa bosan tanpa handphone dan TV, hiburan saya adalah dengan mendengar celoteh jururawat-jururawat yang bertugas. Maka banyak juga lah cerita-cerita yang saya dengar......

Bila berada di dalam Wad HDU ni, apa yang kita nak buat semua mesti dalam pemantauan nurse. Nak ke toilet pun mesti nurse tolakkan kerusi roda sebab bilik air ni agak jauh dari katil, dan nurse takut pesakit jatuh bila bergerak sendirian. 

Saya menjalani Echo Test (Echocardiogram) pada 14/7/2022. Yang saya faham dari Echo Test tu, dari 17 bahagian jantung tu, 4 bahagian mempunyai masalah hypokinetic.


Memandangkan kes serangan jantung saya adalan NSTEMI (Non ST-Elevation Myocardial Infarction iaitu kes serangan jantung kerana kurang oksigen ke jantung), saya perlu menjalani Angiogram untuk mengetahui tahap penyumbatan arteri jantung saya.


08 September 2022

PENGALAMAN SEBELUM MENJALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG (CABG) -BHGN 2

Selepas dari pemeriksaan kesihatan itu, saya lebih kerap menggunakan i-Watch untuk memantau keadaan nadi, ECG dan cuba melengkapkan Fitness Activities yang disyorkan seperti Move, Exercise dan Stand setiap hari. Jumlah Step pada setiap hari juga say cuba dapatkan melebihi 3000 langkah sehari. Biasanya pada hari Sabtu dan Ahad, saya boleh mendapatkan lebih dari 10,000 langkah, manakala untuk hari-hari bekerja, target 3000 langkah itu cuba dikekalkan.

Graf ECG yang ditunjukkan oleh i-Watch merupakan Normal sine curves pada setiap kali aplikasi tersebut saya aktifkan, manakala nadi (heart beat) saya dalam lingkungan 60 hingga 70 beat per minute (bpm). 

Pada pagi 13/7/2022, saya seperti biasa bersiap sedia untuk ke tempat kerja. Sebelum melangkah keluar rumah, terasa sedikit bahang di dada. Memandangkan saya biasa mengalami gastrik, saya menganggap itu adalah simptom gastrik dan meneruskan perjalanan ke tempat kerja. 

Apabila tiba di tempat kerja, rasa bahang itu masih ada. Maka saya pun berehat seketika dan tidak terus melakukan rutin pagi saya seperti biasa. Apabila rasa reda sedikit, saya pun mula melakukan rutin dan tugas harian saya seperti biasa.

Pada sekitar jam 10.30 pagi, rasa bahang di dada itu muncul semula. Saya mengambil keputusan untuk ke bilik air dan bersiap sedia ke klinik untuk mendapatkan rawatan gastrik atau GERD bagi menangani rasa bahang di dada itu. Semasa di bilik air ini, saya merasakan bahang yang lebih kuat di dada kiri dan bahagian belikat kiri saya terasa amat sakit seperti ditekan sesuatu. Saya cuba mengaktifkan aplikasi ECG pada i-Watch saya tetapi i-Watch gagal memberikan sebarang keputusan dengan menyatakan "Poor Data". Apabila berkali-kali mencuba dengan keputusan yang sama, dan pada masa yang sama, saya mula mendapati dahi saya berpeluh, maka saya meminta staf pejabat untuk memanggil Ambulan. Saya merasakan ini mungkin simptom Heart Attack. 


Saya masih boleh berjalan seperti biasa dan memasuki ambulan tanpa bantuan. Semasa diperiksa oleh Paramedik, blood pressure saya menunjukkan bacaan normal. Pada mulanya, saya meminta Ambulan menghantar saya ke Klinik Aisyah tetapi apabila sampai di klinik, terlalu ramai pesakit menunggu, maka saya meminta Ambulan menghantar saya ke KPJ Klang Specialist Hospital.

Di Wad Emergency KPJ Klang, dari ujian ECG dan ujian darah, doktor mengesahkan bahawa saya mengalami mild heart attack dan dimasukkan ke High Dependency Unit (HDU) Ward untuk pemeriksaan jantung pada jam 14.15 petang.


Photo - unknown, taken from parkview.com

07 September 2022

PENGALAMAN SEBELUM MENJALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG (CABG) -BHGN 1

Kalau ikutkan rekod kesihatan, saya tidak ada masalah jantung. Setiap 2 tahun, saya melakukan pemeriksaan kesihatan yang ditetapkan oleh syarikat. Rekod kesihatan saya juga agak baik. Cuma doktor menasihatkan untuk menjaga pemakanan untuk mengawal gula dan kolestrol yang hampir melewati borderline. Cuma pada tahun 2020, giliran pemeriksaan kesihatan pada tahun itu tidak dapat dilakukan seperti biasa kerana halangan PKP. Apabila halangan PKP dilonggarkan pada 2021, saya terpaksa tangguhkan pemeriksaan kesihatan yang telah ditetapkan kerana kaki terseliuh. Bila kaki terseliuh, salah satu ujian semasa pemeriksaan kesihatan iaitu Stress Test tidak dapat dilakukan. Maka tertangguhlah pemeriksaan kesihatan itu sehingga saya bersedia untuk melakukannya pada bulan Jun 2022.

Saya menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk Stress Test pada 22/6/2022. ECG Test menunjukkan keputusan yang normal dan saya berjaya melepasi Stress Test sehingga Stage 4. Pada 31/6/2022 semasa pihak doktor menyerahkan dan membincangkan keputusan ujian-ujian semasa Pemeriksaan Kesihatan tersebut, doktor menasihatkan supaya saya mengawal pemakanan memandangkan tahap kolestrol jahat LDL agak tinggi pada tahap 5.0, dengan tahap keseluruhan kolestrol pada kadar 7. Lain-lain keputusan menunjukkan keputusan yang normal. Doktor menasihatkan saya untuk berjumpa dengannya dalam masa 4 bulan untuk ujian kolestrol sekali lagi sebelum menetapkan jika saya perlu untuk mengambil ubat kolestrol.

Dengan keputusan itu, saya meneruskan penghidupan seperti biasa dengan mula mengawal pemakanan dan mengambil minuman kesihatan untuk mengawal kolestrol (jus mengandungi madu, cuka epal, dan lain-lain ramuan yang memang ada saya beli sebelum ini). Saya juga meminum lebih banyak air lemon panas dengan sedikit madu selepas makan.

31 July 2014

SELAMAT HARI RAYA

Alhamdulillah kerana diberikan kudrat untuk berpuasa penuh Ramadhan kali ini. Semoga ketemu lagi Ramadhan yang akan datang.






Semoga madrasah Ramadhan kali ini berjaya mentarbiahkan diri ini menjadi lebih baik dari sebelumnya dan terus istiqomah dalam bulan-bulan berikutnya seperti yang dipraktikkan semasa Ramadhan.

Selamat Hari Raya diucapkan kepada semua yang mengenali kami. Kiranya ada salah silap dan perkara-perkara yang mengguris hati, kami menyusun sepuluh jari memohon ampun. 


Cuma satu yang kami terkilan kerana tak dapat melakukan solat jenazah untuk seorang sahabat, Sdr Arwan Fazil,  yang telah kembali ke rahmatullah 2 hari sebelum hari raya. Allahyarham telah dibawa balik ke Kedah pada hari Jumaat. Tak sempat nak bertemu dengannya sebelum beliau berangkat ke kampungnya kerana  masih bertugas pada hari tersebut dan pada hari berikutnya kami hanya menerima berita kematiannya melalui posting di FB.  Terasa kehilangannya, seorang sahabat yang sama-sama memajukan Surau al-Mahdi sejak 2006. Semoga Allahyarham ditempatkanNya bersama-sama orang solehin. 

 Wallahu 'alam.

25 May 2014

UJIAN LAGI....... DENGGI DAN HOTEL IMPIANA, IPOH

Tengahari ini ibu Haziq pula dimasukkan ke KPJ Selangor kerana demam denggi selepas 6 hari demam menggigil. Cuma yang sedihnya, tak ada siapa yang menunggunya di wad. Kami bertiga ke Ipoh untuk urusan pendaftaran ke Kolej Matrikulasi Perak esok. 

Kat Ipoh ni, diuji pula dengan ujian kesabaran. Bilik hotel di Hotel Impiana, Ipoh ni tak ada air cond untuk semua guest room. Yang peliknya function room dan restoran semuanya sejuk membeku. Terfikir juga yang pengurusan hotel ni tidak pedulikan guest sebab guest room banyak yang kosong. Maka berpeluh-peluh lah kami kat bilik hotel. Kalau awal-awal masa check in dberitahu oleh staf kaunter, mungkin kami boleh buat pertukaran hotel. Esok masa check out, nak tengok kalau-kalau pihak hotel beri diskaun atau buat donno je. Kalau tak ada apa-apa, inilah kali terakhir kami menginap kat hotel ni. Hotel ni pun dah dikira dimakan usia kalau dibandingkan dengan masa kami menginap beberapa tahun lalu. 

http://ipohhotels.impiana.com.my/

4 Star ke hotel ni? Tidak pada pengamatan kami. 2 Star kot!

Sorry, Impiana Hotel. Tak leh nak beri rating tinggi.

13 May 2014

SAKIT ITU KIFARAH.....

Sedang seronok nak habiskan kerja pada Jumaat 2/5/14 sekitar jam 1645 ptg, tiba-tiba badan menggigil macam kena demam panas. Tak ada simptom apa-apa pun. Serta merta cari windbreaker Northport yang ada dalam almari tu, off air-cond dan duduk diam untuk mula panaskan badan. Cepat-cepat selesaikan kerja, solat asar dan terus balik tanpa fikir panjang, takut tak boleh nak drive bila tangan dah mula menggeletar nanti.

Sampai di kawasan perumahan, terus ke Klinik Famili dan doktor kata kemungkinan saya dijangkiti demam denggi. Dr Zainal berikan antibiotik paling kuat untuk 3 hari dan jika demam tak kurang, kena buat ujian darah. Alamak........ ujian darah! 

3 hari makan ubat demam dan antibiotik. Badan rasa macam biasa, cuma ada rasa demam je. Dr Zainal call yang mengatakan bahawa blood test yang anak lakukan pada malam Sabtu sebelumnya positif denggi. Maka, terpanggil pula untuk buat ujian darah diri ini. Auwww......

Sementara menunggu anak dimasukkan ke wad (menunggu dari jam 11pagi), perut terasa lapar. Dah beberapa hari ni tak lalu makan tapi hari tu tekak terasa macam biasa je. Tiba-tiba Dr Zainal call, platelet darah cuma 97 je. Alamak...... positif denggi ni. Maka kita pula menunggu kemasukan wad dari jam 2 petang tu, tunggu referal letter, GL dan kekosongan katil. Jam 5 petang misi KPJ Selangor suruh masuk dan rehat kat katil observation kat wad emergency tu. Jam 8 malam baru dapat masuk wad 4, itulah je katil yang ada kosong.

2 malam 3 hari berkampung kat KPJ tu. Drip NaCl, makan pil panadol dan cucuk ambil darah untuk test. Begitulah...... sedikit ujianNya ke atas diriku, mungkin itu kifarah bagi menebus dosa-dosaku. 



Redha atas ujianNya. Alhamdulillah, kini beransur pulih.....


29 April 2014

KENANGAN LALU

Bila malam-malam macam ni, terkenang masa student dulu. Masa-masa macam ni lah syahdu...... bila di luar terdengar bunyi salji atau sleet turun menghentam tingkap bilik. Biasanya masa-masa dinihari begini saya masih teruskan study sebab suasana agak sunyi.

Radio City on 194FM dari Liverpool merupakan siaran radio yang menjadi teman pada masa itu, walaupun saya pada masa tu berada di Newcastle. 


http://www.nige-194radiocity.pwp.blueyonder.co.uk

http://www.nige-194radiocity.pwp.blueyonder.co.uk/194%20News%20Jingle1.mp3

http://www.nige-194radiocity.pwp.blueyonder.co.uk/peacefulhr.mp3

Itulah kenangan yang menggamit rindu ......... kenangan 30 tahun yang lalu.

26 April 2014

SINGAPURA.... OH SINGAPURA.....

Dah lama tak ziarah sanak saudara di Singapura. Kali terakhir rasanya masa arwah nenek meninggal dunia dulu. Jmpa sanak saudara dari Singapura pun hanya di Malaysia semasa Hari Raya.

Baru-baru ni dapat peluang ke Singapura atas urusan kerja - menghadiri persidangan pengendali-pengendali pelabuhan. Urusan imigresen selepas mendarat di Changi Airport agak pantas tetapi tidak sepantas urusan imigresen di Shanghai, Xiamen dan Shenzen. 

Kali ini dapat bermalam di Hotel Ritz Carlton Milenia, tak jauh dari Marina Bay Sands Convention Centre, tempat persidangan tu. Cantik hotel ni. Semasa turun dari teksi dan masuk ke lobi hotel terasa macam berada di Shanghai. Ramai pekerja dari China rupanya. Kalau tak ada pekerja Melayu dan India yang bertugas di Concierge dan yang jaga pintu masuk, memang terasa suasana macam di China.

Soal makan di Singapura ni pun kena hati-hati. Oleh sebab was-was, malam tu hanya makan vegetarian dish sahaja kat hotel tu. Tak sempat nak search internet untuk cari gerai-gerai Melayu Singapura. Kalau di Geylang Serai tu, mungkin banyak tempat-tempat macam ni, tetapi ini di kawasan Marina Bay...... mana nak cari kan?

2 hari 2 malam di Singapura hanya berlegar di hotel dan pusat persidangan je. Tak sempat nak ziarah sanak saudara pun. Trip kali ni sebenarnya bidan terjun je. Singapura bukan lagi seperti yang aku kenali dahulu.....

Macamana pun, adalah beberapa gambar selfie yang sempat dirakamkan. Gambar tak berapa cantik sebab guna BB memang susah nak buat selfie.