23 July 2008

HARI AEROBIKTON

PIBG dengan kerjasama pihak sekolah akan mengadakan Hari Aerobikton seperti berikut:

  • Hari Ahad 27 Julai 2008
  • Jam 7.30 pagi
  • Dataran Perhimpunan SK Taman Bukit Subang

Ibubapa dan penjaga serta warga Bukit Subang dijemput hadir. Terdapat gerai-gerai jualan yang dibuka untuk orang ramai yang dikendalikan oleh PIBG, Unit Pendidikan Khas SK TBS, Kelab Guru, dan peniaga-peniaga dari sekitar Bukit Subang. Datanglah beramai-ramai dan berbelanja di samping menderma.

Kita jumpa di sana....!

08 July 2008

PIBG sediakan makanan untuk Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR



















Pihak sekolah telah menganjurkan Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR selama 2 hari pada 5/7/08 dan 6/7/08. Bengkel yang bermula dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang itu telah dikendalikan oleh Dr Ismail Zain (dari Kumpulan Utusan) dan rakan-rakan tenaga pengajar yang merupakan pemeriksa/penggubal soalan UPSR. Sebagai menyokong rancangan sekolah, PIBG membantu dengan menyediakan minum pagi, makan tengahari dan minum petang kepada peserta-peserta bengkel yang terdiri dari murid-murid Tahun 6 dan Tahun 5. AJK Ibubapa dengan dibantu oleh beberapa ibu/penjaga murid Tahun 6 telah menyediakan sendiri makanan tersebut. Terima kasih kepada Puan Faezah, Puan Salmah, Puan Ratna dan Puan Ida dari Pangsapuri Melor dan Teratai kerana sudi membantu. PIBG juga merakamkan rasa terima kasih kepada pihak Surau Al-Mahdi kerana membenarkan AJK Ibubapa menggunakan dapur dan peralatan-peralatan surau selama 2 hari tersebut. Tidak ketinggalan juga kepada Puan Guru Besar kerana sama-sama menghidangkan makanan kepada peserta-peserta pada hari Ahad lalu. Sebahagian dari gambar-gambar semasa gotong royong tersebut disiarkan di sini. Gambar-gambar lain boleh didapati di ruangan e-group KelabIlmuBktSubang.

15 June 2008

Aktiviti Sekolah dan PIBG

Aerobikton untuk mengutip dana PIBG

Sukacita diingatkan sekali lagi supaya kutipan dana ini dilakukan oleh para ibubapa/penjaga, dan bukannya oleh murid-murid. Itu adalah peraturan yang telah ditetapkan. Terima kasih di atas usaha semua ibubapa/penjaga dan guru-guru yang prihatin kerana sama-sama berganding bahu membuat kutipan dana tersebut.

Hari Terbuka Sekolah

Hari Terbuka Sekolah ditetapkan pada Jumaat 20/6/08. Oleh itu, semua ibubapa/penjaga dijemput hadir ke sekolah untuk mendapatkan maklumbalas tentang prestasi pembelajaran anak-anak di sekolah. Inilah juga peluang untuk berinteraksi secara terus dengan guru kelas anak-anak.

Kempen Kitar Semula 2008

SK Taman Bukit Subang telah menyertai program kitar semula anjuran F&NCC dan MBSA dengan kerjasama Alam Flora dan Pejabat Pelajaran Petaling Perdana. Ibubapa & penjaga diseru untuk menyokong program ini dengan menyumbangkan bahan-bahan berikut untuk dikitar semula dan menghantarkannya ke sekolah dari 7.40pg-8.20pg atau 2.10ptg-2.40ptg:

  • Suratkhabar dan majalah - perlu diikat mengikut jenis
  • Kadbod dan kotak - perlu diikat
  • Kertas putih - perlu diikat
  • Kertas campur - perlu diikat
  • Botol kaca - perlu dibersihkan dahulu
  • Plastik campur - perlu dibersihkan dahulu
  • Bekas minuman Tetrapak - perlu dikemekkan
  • Aluminium - perlu dikemekkan

Sekian dan harap maklum.

05 June 2008

Aerobikton untuk Mengumpul Dana untuk PIBG

PIBG dengan kerjasama pihak sekolah akan mengadakan program Aerobikton bagi mengumpul dana untuk projek-projek tahun ini dan tahun hadapan. Pihak sekolah akan mengedarkan kad-kad kutipan derma tersebut kepada semua murid dan guru apabila sekolah dibuka pada minggu hadapan. Perlu diingatkan di sini bahawa ibu bapa/penjaga yang sepatutnya keluar untuk memungut derma tersebut dan bukannya murid-murid. Oleh yang demikian, semua ibu bapa/penjaga diminta supaya tidak menyuruh anak-anak mereka untuk melakukan kutipan derma tersebut.

Adalah diharapkan semoga semua ibu bapa/penjaga dan guru-guru dapat bersama-sama menjayakan projek ini dan mengumpulkan sebanyak mungkin dana untuk dimanfaatkan untuk kebaikan murid-murid dan sekolah. PIBG mensasarkan jumlah kutipan sebanyak RM50,000 dan sasaran tersebut mungkin tercapai sekiranya setiap seorang ibu/bapa/penjaga dan guru dapat mengumpulkan tidak kurang dari RM80. Terdapat hadiah yang disediakan untuk kutipan terbanyak. Tempoh mengutip derma adalah sehingga 26 Julai 2008.

Sekian dan selamat berusaha. Terima kasih di atas kerjasama semua.

14 May 2008

Selamat Hari Guru

PIBG mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di SK Taman Bukit Subang khasnya dan di seluruh Malaysia amnya. Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun merupakan penghargaan negara terhadap jasa guru-guru yang telah menabur budi membentuk generasi pelapis negara tahun demi tahun. Terima kasih di atas jasa para guru dan diharap semoga semangat kental penuh keikhlasan untuk mendidik & mengasuh anak-anak bangsa Malaysia kekal utuh di dalam sanubari guru-guru demi memantapkan martabat profesyen perguruan.

Syabas dan terima kasih, cikgu!

Melanggan Wi-Fi Di samping Menabung untuk PIBG

Seperti yang dinyatakan semasa Majlis Dialog baru-baru ini, PIBG bercadang untuk menyediakan khidmat Wi-Fi untuk komuniti di Bukit Subang. PIBG mengalu-alukan para ibu bapa untuk melanggan perkhidmatan Wi-Fi ini sebagai satu langkah membantu menambahkan sumber kewangan PIBG. Sebelum memulakan projek ini, PIBG memerlukan sekurang-kurangnya 50 orang yang bersedia melanggannya bagi memastikan bayaran langganan bulanan yang rendah, kurang dari yang dibayar jika melanggan dengan Streamyx. Oleh itu, mana-mana ibu bapa yang berminat untuk melanggan, bolehlah menelefon En Efandi di talian 019-3880666. Setakat ini bilangan mereka yang berminat kurang dari sasaran.

01 May 2008

Isu-isu yang dibangkitkan semasa dialog

Lanjutan dari sesi dialog yang diadakan pada 19/4/08, PIBG telah meminta pihak sekolah untuk memberikan maklumbalas bertulis kepada isu-isu yang dibangkitkan. Kepada ibu-bapa yang ingin mengetahui isu-isu tersebut, bolehlah menghantar email kepada pibg.sktbs@gmail.com. Jika tiada halangan, isu-isu tersebut akan dipaparkan di dalam blog ini apabila mendapat jawapan bertulis dari pihak sekolah.

Sekian.

29 April 2008

PROGRAM MINGGU INI

Sabtu 3/5/08
Kem Solat Untuk Tahun 2 & 3
Semua ibu bapa & penjaga murid Tahun 2 & 3 diminta untuk memastikan anak-anak mereka menghadiri kem solat ini sebagai langkah mempersiapkan mereka menjalani penghidupan Muslimin yang sebenar.

Ceramah KIA2M
Ceramah ini diadakan untuk ibu bapa/penjaga & murid-murid KIA2M dan Kelas Pemulihan. Kepada semua ibubapa & penjaga yang dijemput, pastikan tuan/puan mengambil kesempatan ini untuk hadir dan mengetahui perkara-perkara berkaitan masalah pembelajaran.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pihak sekolah.

21 April 2008

BAGAIMANA UNTUK MENGHUBUNGI AJK PIBG

Ibu bapa dan guru-guru yang prihatin,

Tuan/puan boleh menghubungi AJK PIBG melalui cara-cara berikut:

1. E-mail: pibg.sktbs@gmail.com

2. Telefon: Nombor-nombor seperti yang tertera di dalam halaman yang disiarkan sebelum ini.

3. Menjadi ahli e-group Kelab Ilmu Bkt Subang dan mendapat email yang dihantar oleh ahli-ahli yang lain. E-group ini boleh diakses dengan melayari http://www.yahoogroups.com/group/kelabilmubktsubang

Sekian.

07 April 2008

MAJLIS DIALOG IBU BAPA DAN GURU

Sukacita dimaklumkan bahawa PIBG akan mengadakan majlis yang tersebut di atas seperti berikut:

Tarikh: Sabtu 19 April 2008
Masa: 9.00 pagi hingga 12.30 tgh hari
Tempat: Dewan SK Taman Bukit Subang.

Majlis ini diadakan dengan tujuan mencari pendekatan terbaik dalam meningkatkan mutu pembelajaran anak-anak di sekolah di samping merapatkan silaturrahim sesama ibu bapa dan dengan guru-guru. Majlis ini akan dibahagikan kepada dua sesi seperti berikut:

Sesi Ibu bapa dengan Ibu bapa
Masa: 9.00 pagi hingga 11.00 pagi
Kehadiran: AJK Ibu bapa PIBG dan para ibu bapa

Sesi Ibu bapa dengan Guru-guru
Masa: 11.00 pagi hingga 12.30 tgh hari
Kehadiran: AJK PIBG, Guru Besar, semua GPK, Ketua-ketua Panitia Subjek Teras dan para ibu bapa.

Majlis Dialog ini diadakan di dalam dua sesi bagi membolehkan para ibu bapa meluahkan perasaan atau komen membina tanpa rasa malu/segan semasa sesi pertama. Komen dan cadangan para ibu bapa akan dikumpulkan dan dikemukakan kepada para guru semasa sesi kedua. Dengan tema “Ke arah peningkatan mutu pembelajaran”, para ibu bapa disarankan untuk membangkitkan dan membincangkan soalan-soalan atau isu-isu berkaitan kualiti pembelajaran anak-anak di SK Taman Bukit Subang sahaja. Soalan-soalan yang di luar topik tidak akan dibincangkan. Sekiranya majlis dialog ini mendapat sambutan dan berjaya mencari penyelesaian kepada masalah dan isu yang dibangkitkan, majlis dialog susulan dengan tema yang berbeza mungkin akan dipertimbangkan.

Sehubungan dengan itu, semua ibu bapa dan penjaga murid-murid SK Taman Bukit Subang dijemput untuk hadir ke majlis yang tersebut di atas.