05 January 2009

Sesi Penggal Persekolahan Baru 2009

Selamat Tahun Baru 2009 dan Selamat Kembali ke sekolah kepada semua guru dan murid-murid. Kepada guru-guru baru dan murid-murid Tahun 1, diucapkan Selamat Datang dan Selamat Menempuh Alam Persekolahan.

Menurut Pekeliling Kementerian, bayaran yuran PIBG ditangguhkan sehingga pertengahan tahun dan bayaran-bayaran lain perlu dibincangkan antara pihak sekolah dan PIBG, dan dibentangkan di dalam Mesyuarat Agung PIBG. Hanya bayaran-bayaran yang dibenarkan seperti bayaran skim takaful (RM1.50 seorang murid) yang akan dibuat oleh pihak ibubapa semasa sesi pembukaan sekolah 2009. Sila rujuk Pekeliling Kementerian Bil 7/2008: "Persediaan Menghadapi Sesi Penggal Persekolahan Baru".

Tahniah kepada pihak sekolah dan semua murid Tahun 6 2008 kerana berjaya menaikkan peratusan kelulusan UPSR 2008. Tahniah dan syabas diucapkan kepada 16 orang murid Tahun 6 2008 yang berjaya mendapat 5A.

Sekian, semoga kita semua dapat mengekalkan kejayaan tersebut dan seterusnya memperbaiki prestasi sekolah pada tahun 2009 ini walaupun dalam keadaan kegawatan ekonomi global pada masa ini.

18 December 2008

Bayaran Khas Murid Tahun 6 2009

Di samping yuran khas sekolah, murid-murid Tahun 6 perlu membayar sebanyak RM100 seorang setahun (kutipan melalui PIBG dan disalurkan kepada pihak sekolah) bagi menampung kos berikut (anggaran):
1. Soalan Latihan UPSR - Didik (5 set) RM27.00
2. Soalan-soalan UPSR - Unik (4 set) RM15.00
3. Latihan Matematik - 3 set RM10.00
4. Latihan Sains RM14.00
5. Latihan Bahasa Inggeris RM14.00
6. Kertas A4 dan kos rezo RM20.00

Bagi kelas tambahan 4 subjek teras setiap Sabtu (8.00 pg hingga 12.30 t/hari), murid-murid Tahun 6 perlu membayar sebanyak RM20 seorang setiap bulan. Saguhati guru-guru akan ditanggung oleh PIBG.

Sekian, semoga dengan maklumat ini para ibu bapa murid-murid Tahun 6 tahun 2009 dapat membuat persediaan yang sewajarnya.

16 December 2008

Kejohanan Bowling PIBG 2008

Pertandingan bowling ini telah dijalankan di Ole-ole Super Bowl, Seksyen 18, Shah Alam pada Ahad 14/12/08. Sebanyak 13 pasukan telah menyertai pertandingan ini yang dilaksanakan mengikut Jatuhan Pin terbanyak dalam 3 games. Setiap pasukan dianggotai oleh 2 orang pemain berusia 18 tahun ke atas.

Terima kasih kepada semua peserta dari kalangan ibu bapa dan penduduk Bukit Subang yang sudi menyertai pertandingan kali ini. Hadiah-hadiah berupa tropi dan plaque telah ditaja oleh orang perseorangan. Bayaran masuk pertandingan digunakan untuk bayaran sewa "lane" dan selebihnya dimasukkan ke dalam tabung PIBG.

Gambar-gambar sekitar pertandingan dan gambar pemenang-pemenang bersama penganjur disertakan di bawah sebagai kenang-kenangan:



01 December 2008

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha

Diucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua guru, ibubapa dan murid-murid. Hayatilah makna Qurban dan Selamat Bercuti.

Kepada ibubapa yang berminat, satu pertandingan bowling 4-sepasukan akan diadakan pada Ahad 14/12/08 di Ole-Ole Bowling, Seksyen 18, Shah Alam. Bayaran penyertaan adalah sebanyak RM100 bagi satu pasukan. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Saudara Huda 018-20500711. Aktiviti ini adalah sekadar aktiviti rekreasi mengeratkan silaturahim.

Sehingga berjumpa lagi....

03 November 2008

Gotong Royong Keceriaan Sekolah

PIBG telah berjaya mengadakan program gotong royong menambahkan keceriaan sekolah pada Ahad 2/11/08 mulai jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari. Seramai lebihkurang 20 orang guru-guru dan 30 orang ibubapa dan kanak-kanak telah mengambil bahagian. Walaupun kurang sambutan dari kalangan ibubapa (hanya 30 orang dari 1600 orang ibu dan bapa), sebahagian dari objektif gotong-royong berjaya dicapai iaitu:

a) mengecat railing tangga utama
b) mengecat tempat duduk dan palang di ruangan menunggu bas/kenderaan
c) menanam bunga-bunga di ruang legar sekolah
d) mencantas pokok dan menyelenggara lanskap sedia ada.

Masih terdapat pokok-pokok yang tidak sempat ditanam kerana kekurangan tenaga dan PIBG bercadang untuk mengadakan gotong royong yang serupa sebelum sesi sekolah tahun 2009. Diharap para ibubapa yang segan dan malu untuk menyertai program kali ini akan dapat menyertai program akan datang ini.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan program gotong royong kali ini, terutamanya kepada Puan Guru Besar yang sama-sama mengecat railing tangga, AJK Pelaksana dari kalangan ibubapa, En Zakwan (perunding lanskap), dan semua ibubapa yang hadir. Terima kasih juga kepada pihak MBSA dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 22 terutamanya kepada Ahli Majlis Dr Daroyah kerana menyumbangkan sebanyak 150 batang pokok-pokok bunga.

Berikut adalah gambar-gambar yang sempat dirakamkan sepanjang gotong royong tersebut sebagai kenang-kenangan:






19 October 2008

AKTIVITI PIBG






Dimaklumkan bahawa PIBG telah dan sedang melaksanakan beberapa projek seperti berikut:

a. Papan kenyataan PIBG di ruangan menunggu bas/kenderaan bagi memaklumkan kepada ibubapa tentang aktiviti dan maklumat PIBG dan sekolah,
b. Pemasangan penutup longkang di sekitar ruangan menunggu bas/kenderaan dan di dataran perhimpunan bagi mengelakkan murid-murid dari terjatuh ke dalam longkang
c. Pembinaan pancuran air bagi menambahkan keceriaan kawasan sekolah.

PIBG juga akan mengadakan program gotong royong untuk membersihkan dan menambahkan keceriaan kawasan sekolah pada Ahad 2hb November 2008 bermula jam 8.00 pagi. Aktiviti yang dirancang termasuk:

1. mengecat railing tangga yang berkarat
2. mengecat pagar hadapan sekolah
3. mengecat tempat duduk di ruangan menunggu bas yang berkarat
4. membersihkan longkang-longkang dan kawasan persekitaran
5. menanam pokok-pokok bunga dan menyelenggara lanskap sedia ada
6. mewujudkan lanskap baru yang merangsang minda dan keceriaan.

Bagi menjayakan program gotong royong ini, ibubapa dan penjaga dijemput menyertainya beramai-ramai. Sukacita kiranya para ibubapa/penjaga dapat membawa peralatan gotong royong seperti berus cat, cangkul, penyapu, penyodok dan lain-lain peralatan berkaitan. PIBG juga mengalu-alukan sumbangan baja, tanah, pokok-pokok dan wang ringgit dari para ibubapa/penjaga dan para dermawan dari kalangan individu dan syarikat korporat bagi menjayakan projek ini. Adalah diharapkan semoga semangat gotong royong dan bantu membantu di kalangan ibubapa/penjaga yang kian luntur bagi kebanyakan komuniti bandar tidak menular ke kawasan kita dan sebaliknya semangat itu terus disemarakkan di Taman Bukit Subang ini.

Kita jumpa di sana nanti .......!

27 September 2008

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Assalamualaikum wbk,

AJK PIBG mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua guru, murid-murid, ibubapa dan seluruh umat Islam amnya. Kami juga mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf zahir batin dan semoga kita bertemu lagi Ramadhan al-Mubarak.

Kepada yang akan berangkat pulang ke kampung halaman masing-masing, diucapkan Selamat Jalan dan Berhati-hati di Jalanraya!

08 September 2008

Selamat Menjalani Peperiksaan UPSR

Diucapkan Selamat Berjuang kepada semua murid Tahun 6 yang akan menjalani Peperiksaan UPSR bermula 9/9/08 hingga 11/9/08. Didoakan semoga anda sihat, tenang dan cekal menghadapi peperiksaan dan seterusnya memperolehi kejayaan 5A. Doa restu dari ibu bapa dan guru-guru mengiringi perjuangan anda semua.

Selamat Berjaya!

26 August 2008

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Diucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua murid, ibubapa dan guru. Selamat berpuasa, dan sama-samalah kita penuhkan malam-malam Ramadhan ini dengan bertadarus, bertarawih dan solat malam. Semoga Ramadhan kali ini membawa rahmat dan keberkatan kepada kita semua.

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan

Kepada semua murid, ibubapa dan guru,

Diucapkan Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke-51. Kibarkan Jalur Gemilang dan hayati nikmat kemerdekaan yang sebenar.