09 October 2022

PENGALAMAN SELEPAS MENJALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG (CABG) - BHGN 5

Isnin 25/7/2022

Semasa sesi fisioterapi terakhir, Puan Aina menerangkan latihan-latihan yang boleh dilakukan semasa pesakit telah pulang ke rumah dan langkah-langkah yang perlu diambil sebelum melakukan latihan (tekanan darah dalam keadaan normal, dan heart beat di antara 60 hingga 100bpm). Pesakit tidak digalakkan melakukan latihan jika heart beat di bawah 60bpm atau melebihi 100 bpm sebelum melakukan latihan. Latihan pernafasan juga perlu dilakukan bagi memastikan jantung dan paru-paru digunakan pada tahap optima. 

Selepas sesi fisioterapi dan pembayaran bil-bil hospital, saya dibenarkan pulang ke rumah. Saya dibekalkan dengan ubat-ubat berikut:

  1. Coralon 5mg - ubat jantung
  2. Apoclopidogrel (Co-Plavix 75mg) - ubat darah (anti platelet)
  3. Bio Quinone 100mg - supplement untuk menyihatkan saluran darah
  4. Imdur 60mg - untuk membesarkan saluran darah
  5. Vastarel 80mg - untuk mengurangkan sakit dada (angina)
  6. Celebrex 200mg- untuk mengurangkan radang dan pain killer
  7. Vytorin 10mg - ubat kolestrol
  8. Nexium 40mg - untuk gastrik
  9. Ganaton 50mg - ubat angin
  10. Augmentin
  11. Panadol 500mg- pain killer
Sebanyak 23 biji pil yang perlu saya ambil sehari.

Terima kasih kepada Team KPJ Damansara yang merawat dan menjaga saya selama 7 hari.


Dato' Dr Mohd Hamzah Kamaruzaman


Dr Jude Morgan


Menunggu e-hailing dengan dibantu oleh Sdr Romzi, Liaison Officer KPJ Damansara

Saya menggunakan khidmat e-hailing untuk pulang ke rumah. Walaupun perjalanan dengan kereta agak kurang selesa, lebih-lebih lagi bila melalui jalan-jalan yang tidak rata, kesan painkiller membantu mengurangkan sakit akibat gegaran semasa perjalanan.

Itulah pengalaman selama beberapa hari di Hospital Pakar KPJ Damansara dan kini bermula pula episod penjagaan di rumah yang banyak dibantu oleh isteri saya.

08 October 2022

PENGALAMAN SELEPAS MENJALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG (CABG) - BHGN 4

Ahad 24/7/2022

Sementara menunggu sesi fisioterapi, saya menerima kunjungan dari adik beradik saya. Walaupun lawatan dibenarkan, kami menghad lawatan kepada keluarga dan adik beradik sahaja, kerana risiko Covid 19 dan influenza. Ini kerana risiko kepada pesakit yang masih dalam proses recovery dan mempunyai imuniti yang masih rendah. Pada masa itu, bilik-bilik di Wad Premier banyak dipenuhi dengan kanak-kanak yang dijangkiti Influenza. 

Hari itu, sesi fisioterapi dilakukan seperti biasa, cuma dibuat di sebelah petang. Pada hari Ahad, Gymnasium kosong sahaja kerana dibuka untuk pesakit sahaja. Kali ini latihan dikendalikan oleh pembantu Puan Aina dan latihan dapat dilakukan dengan baik, selesai kurang dari setengah jam. 



Petang itu, Dato' Dr Hamzah membuat pemeriksaan dan memberitahu bahawa esok saya mungkin dibenarkan pulang ke rumah.  Banula di tangan kiri dibuka dan hanya ditampal dengan plaster sahaja. Maka mudahlah untuk saya mandi dan lain-lain. 

Bagi membolehkan pesakit pulih segera, Dato' Dr Hamzah tidak menetapkan sebarang pantang dan saya dibenarkan untuk makan apa sahaja sehingga diberitahu dalam sesi follow up akan datang. Fisioterapi juga tidak ditetapkan, cukup dengan latihan di rumah dan latihan pernafasan menggunakan spirometer.

Pesan doktor dan nurse:

  • Jangan mengangkat barang berat melebihi 1 kg sehingga diberitahu semasa sesi follow up akan datang.
  • Tidak dibenarkan memandu selama 2 bulan. (Dr Jude menasihatkan tidak memandu sehingga 3 bulan).
  • Tidak membuat kerja-kerja berat seperti menyangkul, memesin rumput dan yang seumpamanya sehingga diberitahu kelak, seelok-eloknya sehingga 6 bulan.
  • Dibenarkan mengambil supplement seperti multivitamin, kapsul minyak ikan dan yang serupa dengannya tetapi tidak digalakkan mengambil ubat-ubatan lain, terutamanya ubat-ubat tradisional tanpa nasihat doktor.
  • Walaupun mengambil ubat cair darah (Plavix), tidak perlu pantang memakan sayur-sayuran.
  • Tidak bersolat seperti biasa. Boleh bersolat menggunakan kerusi sehingga diberitahu semasa sesi follow up akan datang.
  • Semasa luka di dada dalam proses untuk sembuh,  aktiviti seperti menunduk, mendepang dada dan yang seumpama dengannya perlu dilakukan berhati-hati.
  • Jangan mengambil pati ikan haruan kerana boleh menyebabkan luka sembuh dalam keadaan tidak sekata (luka dalam dan luar) dan kesan parut juga akan jadi tidak cantik. Boleh makan ikan haruan yang dimasak secara terus, bukannya ambil pati ikan haruan.
  • Bagi mengelakkan jangkitan kuman di kawasan luka, digalakkan menggunakan 3 tuala mandi yang berbeza untuk mengesat kawasan dada, kaki dan anggota badan yang lain.
  • Tidak digalakkan memancutkan air ke kawasan luka secara direct semasa mandi.
  • Digalakkan untuk menggunakan sabun mandi yang mild dengan tahap pH5.5.
  • Tidak menggunakan ointment pada kawasan luka bagi mengelakkan jangkitan kuman.