15 December 2009

Haziq Berkhatan

Alhamdulillah, Haziq Husaini selamat dikhatankan pada Ahad 6/12/09. Haziq merupakan peserta paling muda menyertai Program Khatan Perdana anjuran MPP Zon 22 Shah Alam dengan kerjasama Surau-surau Al-Mahdi, Nurul Iman dan Al-Falah di Bukit Subang. Seronok Haziq kena junjung semasa perarakan dari Surau Al-Mahdi ke dewan tempat berkhatan iaitu di Dewan Rafflesia. Selepas dijunjung, Haziq dan peserta-peserta lain di'siram' dengan air dari paip Bomba, habis lencun bajunya. Yang lucunya, Haziq menangis bila terkena air kat matanya.

Pada malam sebelumnya, Haziq dan peserta-peserta lain telah diraikan di dalam majlis ringkas yang dimulai dengan Solat Hajat & Doa Selamat di Surau Al-Mahdi dan disudahi dengan majlis merenjis air mawar dan makan malam di Dewan Rafflesia. Seronok mereka makan beramai-ramai macam VIP dan lebih seronok bila dapat duit dari Pengerusi MPP Zon 22, Dr Daroyah Alwi.

Haziq merupakan peserta pertama yang dikhatankan bermula jam 9.45 pagi. Lebih kurang jam 10.05 pagi, Haziq keluar dari bilik khatan. Walaumacamanapun, pengalaman yang amat bermakna & perit buat Haziq kerana kena jahit dua kali kerana ada pendarahan selepas balik ke rumah.




Diraikan di atas pentas...




Seronok dapat duit dari wakil ADUN




Dapat makan macam VIP...









Tunggu masa untuk berarak ke dewan khatan





Dijunjung dan diarak ke dewan khatan...







Mari kita main air....




Opps... lebatnya hujan.


Mana ibu ni.... Haziq sejuk.... waaaaa...


Tenang menunggu masa dikhatankan.


Tahniah Haziq! Dah selesai......

03 October 2009

Baro'an - menghidupkan suasana

Alhamdulillah, pada Rabu 30/9/09, kami berjaya memulakan konsep baro'an (ziarah ke rumah-rumah sempena Hari Raya) di perjiranan Kenanga di Jalan Spektrum U16/17. Lawatan pertama jemaah surau Al-Mahdi telah ke rumah kami pada malam tersebut selepas Isyak. Seramai 17 orang jemaah telah sama-sama berselawat dan membaca doa selamat dari rumah ke rumah sahabat yang sudi mempelawa jemaah surau ke rumah mereka. Konsep baro'an ini lebih mementingkan kunjungan dan bukannya hidangan, dan namun kami dihidangkan dengan jamuan yang agak berat di kebanyakan rumah yang dikunjungi. Ustaz Mazlan telah mengetuai rombongan pada kali ini dan sebanyak 8 rumah telah dikunjungi pada malam tersebut. Suasana agak ceria pada malam itu dengan kanak-kanak turut sama berkunjung sambil mengambil kesempatan untuk bermain dengan kawan-kawan.

Semoga konsep ini akan diteruskan pada masa akan datang, dan akan berkembang ke seluruh Perjiranan Kenanga sebagai langkah merapatkan silaturahim.



30 August 2009

Selamat Hari Lahir & Selamat Menyambut Ulangtahun Merdeka

Setiap kali menjelang tanggal 31 Ogos, kami merayakan dua sambutan sekali gus, iaitu sambutan hari lahir untuk Afiqah dan ulangtahun kemerdekaan.

Selamat Hari Lahir ke-13 buat Nurul Afiqah pada 31/8/09 semoga dipanjangkan umur dalam rahmatNya dan sentiasa dalam nikmat keimanan, dimurahkan rezeki dan menjadi insan bertaqwa yang berpendidikan.






Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan ke-52 untuk Malaysia. Semoga muslimin Malaysia benar-benar merdeka dalam akidah, kefahaman, pengamalan dan penghidupan dan tidak lagi dijajah oleh pemahaman yang menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar.
Allahu Akbar!


15 August 2009

Selamat Hari Lahir ke 45

Tazkirah buatku....

Hari ini genap umurku 45 tahun. Semoga hari-hari mendatang ini, diriku diberiNya kekuatan rohani dan fizikal untuk terus mencari keredhaanNya dalam perjalanan transitku ini. Doaku semoga Allah memberikan lebih rahmatNya ke atas kami sekeluarga dan sentiasa dalam jagaan rahmatNya. Syukur Alhamdulillah kupanjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih terus bernafas dalam keimanan dan semoga diri yang kerdil ini akan dapat terus meniti liku-liku hidup ini yang penuh cobaan dan dugaan dalam keimanan.

Terima kasih kepada Sdr Azmira dan Al-Azza Services Sdn Bhd kerana hadiah kek harijadi dan khidmat pelanggan yang baik dan amat bermakna ini. Semoga Al-Azza Services akan terus maju dan terus menjadi penyokong kuat kepada usaha fisabilillah di Bukit Subang.





Haziq, ini birthday ayahlah....
Wassalam...

09 August 2009

Tazkirah: Al-Quran



Sekadar ingin berkongsi ilmu.....

Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda : Bila seseorang lelaki itu mati dan saudaranya sibuk dengan pengebumiannya, berdiri lelaki yang betul-betul kacak di bahagian kepalanya. Bila mayatnya dikapan, lelaki itu berada di antara kain kapan dan si mati.

Selepas pengebumian, semua orang pulang ke rumah, 2 malaikat Mungkar dan Nakir datang dalam kubur dan cuba memisahkan lelaki kacak ini supaya mereka boleh menyoal lelaki yang telah meninggal itu seorang diri mengenai ketaatannya kepada Allah. Tapi lelaki kacak itu berkata "Dia adalah temanku, dia adalah kawanku. Aku takkan meninggalkannya seorang diri walau apa pun. Jika kamu ditetapkan untuk menyoal, lakukanlah tugasmu. Aku tidak boleh meninggalkannya sehingga aku dapati dia dimasukkan ke dalam Syurga."

Selepas itu dia berpaling pada temannya yang meninggal dan berkata, "Aku adalah Al-Quran, yang mana kamu membacanya, kadang-kadang dengan suara yang nyaring dan kadang-kadang dengan suara yang perlahan. Jangan bimbang. Selepas soal siasat dari Mungkar dan Nakir, kamu tidak akan bersedih."

Selepas soal siasat selesai, lelaki kacak mengatur untuknya daripada Al-Mala'ul A'laa (malaikat dalam Syurga) tempat tidur dari sutera yang dipenuhi bauan kasturi.


Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda : Di hari pengadilan, di hadapan Allah, tiada syafaat yang lebih baik darjatnya daripada Quran, mahupun dari nabi atau malaikat.

Maka, marilah kita memperbanyakkan membaca al-Quran dengan menghayati makna dan pengajaran yang disampaikannya.


29 July 2009

Tazkirah - Solat yang tidak diterima Allah

Petikan dari Kitab Muhimmah

Solat yang tidak diterima oleh Allah SWT:

1. Solat orang yang tiada berjemaah
2. Solat orang yang tidak mengeluarkan zakat hartanya
3. Solat orang yang berbuat zina
4. Solat orang yang makan riba
5. Solat orang yang menyamun
6. Solat orang yang makan yang haram
7. Solat orang yang memakan dan meminum yang haram
8. Solat orang yang menjual yang haram
9. Solat hamba yang lari dari tuannya
10. Solat perempuan atau isteri yang masam mukanya atau derhaka atau bertutur dengan marah kepada suaminya.

Maka muhasabah diri sendiri jika diri kita tergolong dari kalangan mereka yang tersebut di atas. Amat mudah untuk kebanyakan dari kita termasuk dalam golongan 1, 2, 6 dan 1o, sama ada secara sengaja atau tak disengajakan. Kita kerap sekali mengerjakan solat seorang diri sedangkan surau dan masjid hanya sepelaungan sahaja. Sudahkah kita mengeluarkan zakat selain dari zakat fitrah (pendapatan, simpanan ASB, bank, saham, barang kemas dll)? Pernahkah kita terfikir yang wang yang kita gunakan untuk membeli makanan datangnya dari sumber yang haram, sama ada secara tak sengaja atau subhah? Kepada para isteri, berapa kali kita tinggikan suara kepada suami, masamkan muka kepadanya kerana perkara-perkara remeh, atau membelakangkan suami?

Semoga kita tidak tergolong dari kalangan mereka yang solatnya ditolak, kerana jika solat kira ditolak oleh Allah SWT, maka keseluruhan amalan kita juga turut tertolak.

Wallahu 'alam.

16 July 2009

Makan Nasi Arab

Gambar-gambar ini diambil semasa saya bersantai dengan rakan-rakan surau di restoran nasi arab dekat Jalan Ampang. Sesekali tu teringin juga nak rasa suasana makan ala Pak Arab. Lantas kami ambil kesempatan menggunakan bilik persendirian (tak kena caj pun) dan makan macam Pak Arab.... cuma Pak Arab makan kambing seekor bahagi 4 orang, kami makan kambing sepotong je sepinggan.



Ismail, MFJ dan Halim


Ohh... kena rehat macam ini


Azmira, Mohd Nor & Ismail




Arwan - posing betul ni....

Kena datang lagi ni.... lain kali.

15 July 2009

Ziarah

Gambar-gambar ni dirakamkan semasa kami bercuti di Langkawi akhir tahun 2008. Alhamdulillah, kami dapat melihat keindahan alam ciptaan Allah dan mendekatkan anak-anak kepada spesis binatang dan tumbuh-tumbuhan yang tidak mereka temui di hutan batu.



Haziq diperkenalkan dengan belangkas.


Nabilah - ini belangkas, bukannya Darth Vader.



Haziq: Ayah! Haziq pun tak takut ular! Tengok Haziq pegang.


Afiqah - memang dari kecil tak takut dan tak rasa geli geleman memegang ular sawa.




Afiqah: Haziq! Rabbit lah.... bukan labbit.

Semoga ziarah kami itu mendapat keberkatan. Amin.

14 July 2009

Renungan....

Bismillahirrahmanirrahim. Sekadar renungan dan buat iktibar untuk kita sekeluarga.

Kisah Seorang Gadis

Rakaman ini dipetik dari program Motivasi Pagi -TV 3 (6.30 pagi) oleh Ustazah Noorbayah Mahmood

Seorang gadis datang menemui Rasulullah dengan tangan kanannya disorokkan kedalam poket bajunya. Dari raut wajahnya, anak gadis ini sedang menanggung kesakitan yang amat sangat. Lalu Rasulullah menegurnya. "Wahai anakku, kenapa wajahmu menampakkan kamu sedang kesakitan dan apa yang kamu sorokkan di tanganmu?"

Lalu gadis malang ini pun menceritakan hal yang berlaku padanya: "Ya Rasulullah, sesungguhnya aku adalah anak yatim piatu. Malam tadi aku telah bermimpi dan mimpiku itu telah membuatkan aku menanggung kesakitan ini." Balas gadis tadi.

"Jika tidak jadi keberatan, ceritakanlah mimpimu itu wahai anakku." Rasulullah mula tertarik dengan penjelasan gadis tersebut."Aku bermimpi berjumpa ibuku di dalam neraka. Keadaannya amat menyedihkan. Ibuku meminta diberikan air kerana dia amat dahaga kerana kepanasan api neraka itu hingga peluh tidak sempat keluar kerana kekeringan sekelip mata." Gadis itu berhenti seketika menahan sebak. "Kemudian kulihat ditangan kirinya ada seketul keju dan ditangan kanannya ada sehelai tuala kecil. Beliau mengibas-ngibaskan kedua-dua benda tersebut untuk menghalang api dari membakar tubuhnya. Lantas aku bertanya ibuku, kenapa dia menerima balasan sebegitu rupa sedangkan ketika hidupnya ibuku adalah seorang hamba yang patuh dengan ajaran islam dan isteri yang taat kepada suaminya? Lalu ibuku memberitahu bahawa ketika hidupnya dia amat bakhil. Hanya dua benda itu sahaja iaitu seketul keju dan sehelai tuala kecil pernah disedekahkan kepada fakir. Yang lainnya hanya untuk bermuka-muka dan menunjukkan kelebihan hartanya sahaja. Lalu aku terus mencari ayahku. Rupanya beliau berada di syurga dan sedang menjamu penghuni syurga dengan makanan yang lazat dan minuman dari telaga nabi. Ayahku memang amat terkenal kerana sikapnya yang dermawan dan kuat beramal. Lalu aku bertanya kepada ayahku. "Wahai ayah, ibu sedang kehausan dan menaggung azab di neraka. Tidakkah ayah ingin membantu ibu sedangkan di dunia kulihat ibu amat mentaatimu dan menurut perintah agama. Lalu dijawab oleh ayahnya. Sesungguhnya beliau dan semua penghuni syurga telah dilarang oleh Allah dari memberi walau setitik air kepada isterinya kerana itu adalah pembalasan untuk kebakhilan yang dilakukan ketika di dunia. Oleh kerana kasihan melihat azab yang diterima oleh ibuku, aku lantas menceduk sedikit air mengguna tapak tangan kananku lalu dibawa ke neraka. Belum sempat air tersebut mencecah bibir ibuku, api neraka telah menyambar tanganku sehingga melecur.S eketika itu juga aku tersedar dan mendapati tapak tanganku melecur teruk. Itulah sebabnya aku datang berjumpa engkau ya Rasulullah." Panjang lebar gadis itu bercerita sambil airmatanya tidak henti-henti mengalir dipipi.

Rasulullah kemudian meletakkan tongkatnya ke tapak tangan gadis tersebut lalu menadah tangan, berdoa memohon petunjuk dari Allah. Jika sekiranya mimpi gadis tersebut adalah benar maka disembuhkanlah agar menjadi iktibar kepada beliau dan semua umat islam. Lalu berkat kebesaranNya tangan gadis tersebut sembuh. Rasulullah lantas berkata, "Wahai anakku, pulanglah. Banyakkan bersedekah dan berzikir dan pahalanya kau berikan kepada ibumu. Mudah-mudahan segala dosanya terampun."

16 June 2009

Penutupan Blog

Memandangkan bahawa pihak sekolah telah mempunyai laman web sendiri, maka Blog PIBG (www.pibg-sktbs.blogspot.com) akan ditutup secara rasminya pada 30/6/09. Terima kasih kepada semua pengunjung yang sudi melayari blog ini sejak ianya ditubuhkan pada 3/4/08.

Sekian.

Moderator.

04 June 2009

Peneraju Utama

Sebahagian dari peneraju utama di dalam perjalanan transitku ini:


Haziq Husaini


Nurul Afiqah (kiri) dan Siti Nabilah (sepupu)

02 June 2009

Tempat Jatuh Lagi dikenang...

Assalamualaikum wbk.

Inilah Bukit Subang yang diabadikan oleh jurugambar bebas yang tidak saya kenali (muat turun dari flickr & panoramio) . Sekadar hiasan dan kenang-kenangan kerana lanskap Bukit Subang akan berubah lagi....




31 May 2009

Salam Perkenalan

Assalamualaikum wbk,

It has been a hot day today. In fact, it has been hot these few days. It rained in Port Klang a few times last week but only once at Bukit Subang. Why?

Selain dari fenomena cuaca masa ini, adakah ini petunjuk dari Allah SWT dan amaran dariNya? Seorang Ustaz yang mengajar di Surau Al-Mahdi , Bukit Subang baru-baru ini mengatakan bahawa Tuhan menurunkan bala kerana ingin memberikan peringatan kepada makhluknya atau kerana kemurkaanNya di atas perbuatan makhluknya khasnya manusia. Marilah kita renungkan bersama......

Wallahu 'alam.

21 May 2009

Peperiksaan Pertengahan Tahun PKSR 1

Minggu hadapan merupakan minggu peperiksaan. Oleh yang demikian, semua ibu bapa diingatkan supaya dapat membantu anak-anak mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Untuk makluman, Ujian PKSR 1 akan diadakan mulai hari Isnin 25/5/09 hingga 29/5/09.

Selamat Menghadapi Peperiksaan, dan semoga berjaya.

Moderator.

14 May 2009

Selamat Hari Guru

Diucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di SK Taman Bukit Subang khasnya dan para pendidik di semua institusi pendidikan amnya. Semoga kekal ceria menjayakan profesion perguruan, berbakti kepada masyarakat dengan penuh dedikasi, taqwa dan ikhlas keranaNya.

Guru Dedikasi Murid Gemilang...

Moderator.

07 May 2009

SUKAN TAHUNAN 2009

Sukan Tahunan 2009 akan diadakan pada hari Ahad 10 Mei 2009. Semua ibubapa dijemput hadir untuk memeriahkan hari sukan dan memberikan sokongan moral kepada anak-anak yang bertanding.

Sukaneka untuk murid-murid Tahun 2, 3 dan Pendidikan Khas pula telah diadakan pada hari Khamis 7 Mei 2009. Terima kasih diucapkan kepada para ibu bapa yang turut hadir semasa acara Sukaneka tersebut di atas sokongan dan kerjasama memeriahkan majlis.

Sekian, dan tolong war-warkan kepada ibu bapa yang lain.

Kita jumpa nanti ....... bersilaturahim dalam semangat kesukanan.

13 April 2009

Bayaran Perkhidmatan dan Kemudahan Tambahan

Assalamualaikum wbk,


Rasanya ramai di kalangan ibubapa yang tertanya-tanya mengapa mereka perlu membuat pembayaran yang tersebut di atas. Bayaran yang tersebut di atas telah dibincangkan dan diluluskan di dalam Mesyuarat Agung PIBG pada 1 Mac 2009 yang lalu. Secara ringkasnya, pembayaran tersebut merangkumi perkara-perkara berikut:


1. Ko-kurikulum (Kelab & Badan Beruniform) - RM 5.00
2. Kertas Ujian (Formatif 1&2 dan PKSR 1&2) - RM10.00
3. Lembaran Kerja - RM10.00
4. Sukan - (Sukaneka Tahap 1 & Pendidikan Khas - RM10.00
Olahraga, Permainan Peralatan Sukan)
5. Kegiatan Pendidikan Islam & Moral - RM10.00
6. Majlis Sukan- Sukan Negara - RM 2.00
Jumlah RM47.00

Sebenarnya ibu bapa pernah membuat bayaran di atas pada masa-masa lalu, cuma ianya dibayar melalui pihak sekolah. Bayaran kali ini dibuat melalui PIBG dan AJK PIBG akan menguruskannya mengikut keperluan sekolah. Untuk maklumat dan penerangan lanjut, sila berhubung dengan mana-mana AJK PIBG.

Sekian.

Moderator.

20 March 2009

Anda ada cadangan atau komen?

Jika ada, sila klik 'Comment' di bawah dan nyatakan komen atau cadangan anda.

Email untuk PIBG

Ibu bapa boleh menghubungi AJK PIBG melalui email berikut:

pibg.sktbs@gmail.com

Selain dari itu, ibu bapa boleh juga mengakses yahoogroup berikut:

www.yahoogroups.com/group/kelabilmubktsubang

untuk membincangkan isu-isu tertentu.

Dalam blog ini juga, para ibu bapa boleh juga menghantar komen. Sila klik "Comment" yang tertera di bawah setiap posting blog ini.

Sekian.

Moderator.

11 March 2009

Anda mempunyai bahan-bahan bacaan terpakai?

Jika ya, sumbangkanlah bahan-bahan bacaan tersebut kepada SK Taman Bukit Subang untuk digunakan oleh murid-murid yang kurang berkemampuan atau digunakan sebagai bahan rujukan di Pusat Sumber Sekolah.

Sumbangan walau sekecil mana sekalipun membawa makna yang besar apabila ianya dimanfaatkan dan hasilnya dilipat-gandakan dari seorang insan kepada insan-insan lain.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi GPK Hal Ehwal Murid Pn Ellya atau Guru Pusat Sumber.

Terima kasih di atas keprihatinan tuan/puan.

Moderator.

UJIAN FORMATIF 1

Ujian Formatif 1 akan diadakan selepas cuti sekolah. Tarikh-tarikh ujian adalah seperti berikut:

a. Sesi Petang
Isnin 23 Mac 2009 hingga Khamis 26 Mac 2009

b. Sesi Pagi
Selasa 24 Mac 2009 hingga Jumaat 27 Mac 2009

Adalah diharapkan semoga ibubapa dapat memastikan anak-anak mereka membuat persediaan awal bagi menghadapi ujian ini.

10 March 2009

Program Murid Tahun 6

Dimaklumkan bahawa pihak sekolah akan mengadakan program-program berikut untuk murid-murid Tahun 6:

1. Kemahiran Belajar
Isnin 16/3/09

2. Motivasi "Smart Learning"
Selasa 17/3/09

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pihak sekolah atau guru-guru Tahun 6.

Sekian, harap maklum.

Moderator.

01 March 2009

Tahniah kepada AJK Baru PIBG 2009/2010

Assalamualaikum wbk & Salam sejahtera,

Tahniah diucapkan kepada En Mohamad Nazran Basirun (YDP) dan En Yoni Dwi Varia (Naib YDP) serta barisan AJK PIBG 2009/2010 yang dilantik semasa Mesyuarat Agung PIBG hari ini kerana diberi kepercayaan untuk menerajui PIBG untuk sesi akan datang. Semoga PIBG akan lebih berjaya di bawah pentadbiran tuan.

Dari YDP & AJK 2008/2009.

14 February 2009

Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke 5

Dimaklumkan bahawa Mesyuarat Agung PIBG kali ke-5 akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: Ahad 1 Mac 2009
Masa: 8.30 pagi
Tempat: Dewan SK Taman Bukit Subang

Sehubungan dengan itu, semua ibubapa dijemput hadir ke mesyuarat di atas untuk membincangkan usul-usul yang dibangkitkan. Usul-usul perlu dimajukan kepada Setiausaha PIBG sebelum tarikh yang ditetapkan dan ibu bapa perlu hadir untuk membentangkan usul-usul yang dibangkitkan itu.

Ibubapa diminta untuk mengembalikan borang pengesahan kehadiran bagi membolehkan pihak sekolah menganggarkan penyediaan buku mesyuarat. Ibubapa juga dinasihatkan untuk hadir kerana mesyuarat akan membincangkan isu pembayaran sumbangan/yuran lanjutan dari arahan penangguhan pembayaran yuran PIBG dan lain-lain yuran mengikut Pekeliling Kementerian Pelajaran. Tanpa sumbangan/yuran dari ibubapa, program sekolah dan PIBG akan terganggu dan akan menggugat prestasi anak-anak kita.

Sekian, sehingga kita berjumpa lagi.

Tahniah kepada Guru Besar & Guru-guru

Ucapan tahniah kepada Guru Besar dan Guru-guru kerana berjaya meningkatkan prestasi pencapaian UPSR dari 76.4% pada 2007 kepada 85.05% pada 2008, dan mendapat Sijil penghargaan dari Pejabat Pelajaran Daerah Petaling Perdana.

05 January 2009

Sesi Penggal Persekolahan Baru 2009

Selamat Tahun Baru 2009 dan Selamat Kembali ke sekolah kepada semua guru dan murid-murid. Kepada guru-guru baru dan murid-murid Tahun 1, diucapkan Selamat Datang dan Selamat Menempuh Alam Persekolahan.

Menurut Pekeliling Kementerian, bayaran yuran PIBG ditangguhkan sehingga pertengahan tahun dan bayaran-bayaran lain perlu dibincangkan antara pihak sekolah dan PIBG, dan dibentangkan di dalam Mesyuarat Agung PIBG. Hanya bayaran-bayaran yang dibenarkan seperti bayaran skim takaful (RM1.50 seorang murid) yang akan dibuat oleh pihak ibubapa semasa sesi pembukaan sekolah 2009. Sila rujuk Pekeliling Kementerian Bil 7/2008: "Persediaan Menghadapi Sesi Penggal Persekolahan Baru".

Tahniah kepada pihak sekolah dan semua murid Tahun 6 2008 kerana berjaya menaikkan peratusan kelulusan UPSR 2008. Tahniah dan syabas diucapkan kepada 16 orang murid Tahun 6 2008 yang berjaya mendapat 5A.

Sekian, semoga kita semua dapat mengekalkan kejayaan tersebut dan seterusnya memperbaiki prestasi sekolah pada tahun 2009 ini walaupun dalam keadaan kegawatan ekonomi global pada masa ini.