17 July 2024

PENGALAMAN SELEPAS MENJALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG (CABG) - BHGN 6

Minggu Pertama di Rumah

Apabila berada di rumah, segala-galanya di bawah kawalan sendiri. Pada masa ini, saya banyak dibantu oleh isteri semasa mandi, pengambilan makanan dan penyediaan kerusi untuk solat. Aktiviti saya banyak tertumpu kepada latihan kaki, latihan pernafasan dan berehat. Memandangkan saya mengambil painkiller 3 kali sehari seperti saranan doktor, kesannya adalah kerap mengantuk lebih-lebih lagi selepas latihan. Aktiviti pagi saya adalah berjalan-jalan di sekitar ruang tamu selama beberapa minit, berehat dan diteruskan dengan latihan pernafasan menggunakan spirometer. Kerana letih dan kesan painkiller, saya akan tidur sekitar 11.30 pagi dan bangun untuk makan tengahari dan solat zohor. 

Pada sebelah petang dan malamnya, rutin yang sama saya lakukan. Saya akan tidur sekitar 3.00 petang dan bangun untuk solat asar dan minum petang. Pada minggu pertama ini, pernafasan masih belum lancar dan aktiviti berjalan hanya dapat dilakukan selama beberapa minit sahaja kerana merasa mengah dan penat. Latihan berjalan ini disambung lagi selepas rehat beberapa minit. Latihan pernafasan juga belum berapa lancar dan agak sukar juga untuk mencapai lebih 1000 pada skala spirometer itu. 

Saya juga melakukan latihan berjalan dan pernafasan pada waktu malam. Pada mulanya saya tidur agak awal sekitar 11.00 malam. Walaubagaimanapun, saya akan terbangun pada sekitar jam 2.30 pagi untuk buang air kecil dan selepas itu saya akan terkebil-kebil hingga waktu subuh. Selepas itu, saya akan melakukan latihan berjalan agak lewat dan tidur sekitar 12.00 malam. Bila badan rasa penat, maka saya agak nyenyak tidur dan terjaga sekitar 5.30 pagi untuk solat subuh.

Pada minggu pertama ini, rasa sakit di dada belum ketara kerana masih di bawah kesan painkiller. Begitu juga dengan luka akibat belahan di kaki kanan, cuma kaki kanan ini tidak dapat diluruskan lagi. Kaki kanan ini agak bengkak kerana edema (adanya cecair yang terperangkap di kaki).

Pada 28/7/2022 (9 hari selepas pembedahan), semasa sesi temujanji dengan Dato' Dr Hamzah, saya memberitahunya keadaan heart beat saya yang agak tinggi. Dato' Dr Hamzah telah menambah 2 jenis lagi ubat untuk saya ambil:

  • Concor 2.5mg - untuk membetulkan heart beat
  • Sangibion - untuk menambah kekurangan zat besi.
Pada sesi yang sama, Dato' Dr Hamzah memotong benang jahitan pada 3 luka di perut (lubang untuk hos sedut darah dll). Benang jahitan pada luka-luka di dada dan di kaki akan terputus dengan sendirinya.